KUCHING: Bandar Simanggang bakal memiliki tebingan terpanjang di negeri ini yang akan dibina sehingga ke Jambatan Jambatan Batang Lupar 2, menjadikannya mercu tanda baharu untuk Bahagian Sri Aman.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek pembinaan tebingan sepanjang kira-kira dua kilometer itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
“Kita lihat jambatan kedua tidak lama lagi akan siap, jadi ia akan menjadi ikonik. Orang ramai akan melihat jambatan yang tinggi, dengan reka bentuk yang tersendiri, menjadi tarikan pelancong dari segi kejuruteraan dan teknologi yang digunakan,” katanya.
“Dan dari jambatan itu hingga Sri Aman, kita akan membina benteng tebingan. Ini bermakna, tebingan dari Benak hingga ke jambatan yang sedang dibina sekarang akan menjadi lebih kurang dua kilometer — tebingan terpanjang di Simanggang di Sarawak,” tambahnya semasa berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Anak Perantau Simanggang (APS) dan Lembaga Amanah Masjid Sri Aman di Dewan Hikmah hari ini.

Dengan siapnya tebingan tersebut, ia bukan hanya akan menghiasi kawasan sekitar, tetapi juga merangsang pembangunan komersial di kawasan berkenaan.
“Di kawasan itu kelak, kita akan bangunkan ruang-ruang untuk adik-beradik berniaga,” kata Abang Johari.
Beliau juga menyarankan intelektual Simanggang untuk menganjurkan forum ekonomi yang akan membincangkan potensi pembangunan bandar tersebut berikutan infrastruktur yang sedang dibangunkan.
“Hanya saya minta anak-anak perantau ini untuk menganjurkan forum ekonomi, bagi meneroka kemungkinan-kemungkinan yang akan datang dengan pembangunan infrastruktur yang sedang dijalankan sekarang.
“Kita jangan hanya melihat sahaja, kita perlu menganjurkan forum yang proaktif untuk meneroka peluang-peluang ini,” ujarnya.


