KUCHING: Industri perkayuan di Sarawak terus melangkah ke arah transformasi yang lebih tersusun menerusi pengukuhan kerjasama strategik antara pemain industri dengan agensi kerajaan bagi meningkatkan kecekapan operasi serta amalan pengurusan mampan.
Pengerusi Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) Datuk Henry Lau Lee Kong berkata, usaha bersepadu bersama Jabatan Hutan Sarawak dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) telah menghasilkan beberapa penambahbaikan penting termasuk pemerkasaan garis panduan Penanaman Pengayaan serta pelaksanaan Audit Pematuhan Alam Sekitar.
“Inisiatif pembangunan kapasiti seperti Bengkel Pemerhatian Biodiversiti untuk Tanah dan Kesihatan Ekosistem (BOLEH) Siri II turut dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan teknikal dalam kalangan pemain industri,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan STA di Wisma STA, di sini hari ini.
Mengulas mengenai aspek tenaga kerja, Henry menjelaskan bahawa pengenalan Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) pada tahun 2025 dilihat sebagai langkah progresif untuk memperkemas proses pengambilan pekerja.
Menurut beliau, walaupun matlamat tersebut jelas menjurus ke arah pemodenan dan kecekapan, pihak industri berpandangan masih terdapat ruang untuk memperhalusi pelaksanaan khususnya dari segi kelancaran sistem, penyelarasan prosedur serta kejelasan maklumat kepada majikan.
“Bagi menyokong pelaksanaan yang lebih berkesan, STA mencadangkan agar mekanisme semakan awal diperkukuh bagi membantu majikan membuat keputusan yang lebih tepat dalam pemilihan pekerja sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan sumber manusia.
“Pada masa sama, aspek kos operasi kekal menjadi perhatian apabila industri perlu menyesuaikan diri dengan beberapa pelarasan dasar termasuk kenaikan gaji minimum, peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta keperluan pematuhan tambahan.
“Dalam hal ini, pendekatan pelaksanaan secara berperingkat dilihat dapat membantu memastikan peralihan tersebut berjalan dengan lebih lancar,” jelas beliau.
Selain itu, Henry berkata usaha penambahbaikan rangka kerja perundangan buruh yang sedang dilaksanakan turut dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuh tadbir urus dan perlindungan tenaga kerja.
Beliau menegaskan kepentingan dialog berterusan antara pihak berkepentingan bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan mengambil kira keperluan industri secara menyeluruh.
“Dalam perkembangan lain, STA Training Sdn Bhd terus memperluas program latihan yang merangkumi penggunaan jentera dalam operasi pembalakan, pemantauan kualiti alam sekitar, audit pematuhan serta teknik pengukuran balak sebagai usaha mempertingkat kemahiran dan profesionalisme tenaga kerja.
“Keseluruhannya, pendekatan kolaboratif yang berterusan antara kerajaan dengan industri diyakini mampu memperkukuh daya tahan sektor perkayuan sekali gus memastikan ia kekal relevan, mampan dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya.


