KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan penukaran nama Stadium Negeri kepada Stadium Taha Ariffin, sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan sumbangan besar Allahyarham Datuk Mohamad Taha Ariffin dalam pembangunan sukan di Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengiktirafan itu merupakan penghormatan yang amat wajar kepada individu yang jasa dan komitmennya banyak menyumbang kepada perkembangan serta kejayaan bola sepak di negeri ini.
Menurutnya, Allahyarham merupakan pengasas Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) pada 1974 dan seorang tokoh tersohor yang memainkan peranan besar dalam membentuk pembangunan sukan khususnya bola sepak di Sarawak.
“Di bawah kepimpinan beliau, Sarawak mencapai kegemilangan dan mencatat pelbagai kejayaan dalam acara sukan seperti menjuarai Piala FA Malaysia pada 1992, serta muncul juara SUKMA selama tiga penggal berturut-turut pada 1990, 1992 dan 1994.
“Kejayaan-kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan pasukan pada ketika itu, malah memperlihatkan visi, dedikasi dan kepimpinan Allahyarham Datuk Mohamad Taha Ariffin dalam membina budaya serta identiti sukan yang kukuh untuk Sarawak,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya turut menyifatkan kesinambungan legasi tersebut turut disaksikan menerusi pencapaian membanggakan Kuching City FC yang mencipta sejarah apabila berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2025/2026 buat pertama kali sejak penubuhannya.


