KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) kini memfokuskan untuk mempromosi pelancongan halal sejajar pasaran halal yang semakin berkembang di Brunei dan Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharzede Datuk Salleh Askor berkata, ia merupakan antara usaha STB untuk membantu meletakkan Sarawak sebagai destinasi yang memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan pengembara.
“Pensijilan halal bukan sahaja soal pematuhan agama tetapi juga memastikan kebersihan, amalan etika dan kepercayaan pengguna menjadikan Sarawak destinasi yang mudah diakses dan inklusif untuk semua,” katanya.
Menurut Sharzede, Singapura dan Brunei secara konsisten menjadi antara lima pasaran sumber utama Sarawak untuk ketibaan pelawat.
Diiktiraf sebagai bandar kreatif gastronomi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNESCO), beliau berkata Kuching menawarkan perjalanan gastronomi yang dibentuk oleh 34 kumpulan etnik.
“Pengiktirafan ini mengukuhkan keterangkuman dan kepelbagaian Sarawak, memastikan setiap pengembara, tanpa mengira latar belakang atau pilihan pemakanan mereka boleh menikmati apa-apa yang ditawarkan di bandar kita.
“Landskap semula jadi Sarawak terus menawan pengembara, menawarkan pengalaman unik yang berakar umbi dalam kepelbagaian biodiversiti dan keajaiban geologi rantau.
“Dengan pengiktirafan Taman Negara Niah baru-baru ini sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kedua Sarawak selain Taman Negara Mulu yang terkenal, Sarawak dengan bangganya berdiri sebagai negeri pertama di Malaysia yang memegang dua gelaran Warisan Dunia UNESCO.
“Pencapaian ini bersama-sama dengan pengiktirafan Geopark Delta Sarawak sebagai geopark negara keenam Malaysia, menyerlahkan komitmen untuk memelihara warisan semula jadi,” katanya.


