ARTIKEL

STB menerima tiga anugerah iaitu Best Tourism Board for Destination Marketing Malaysia 2026, Excellence in Sustainable Tourism Promotion Malaysia 2026, dan Leading Regional Tourism Promotion Agency Malaysia 2026.

STB Terima Tiga Anugerah Utama World Business Outlook Awards 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) mengukuhkan kedudukan wilayah ini di pentas global apabila meraih tiga anugerah utama pada World Business Outlook Awards 2026.

STB dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima tiga kategori utama iaitu Best Tourism Board for Destination Marketing Malaysia 2026, Excellence in Sustainable Tourism Promotion Malaysia 2026 dan Leading Regional Tourism Promotion Agency Malaysia 2026.

Katanya, pengiktirafan tersebut sekali gus meletakkan Sarawak sebagai antara destinasi pelancongan dunia yang semakin berpengaruh dalam membentuk masa depan industri berkenaan.

“Anugerah berprestij itu disampaikan oleh World Business Outlook yang berpangkalan di Singapura, yang mengiktiraf organisasi bukan sahaja mengikuti trend semasa, tetapi keupayaan mentransformasikan industri melalui inovasi, kelestarian dan kepimpinan.

“Majlis penyampaian rasmi anugerah tersebut dijadual berlangsung pada 15 November 2026 di Pullman Bangkok, menghimpunkan pemimpin industri global, pembuat dasar serta inovator di bawah tema ‘Rewarding the Ultimate Business Excellence’,” katanya.

Kejayaan ini mencerminkan pendekatan strategik Sarawak yang tersusun dalam membangunkan sektor pelancongan, khususnya melalui penjenamaan jelas sebagai ‘Gateway to Borneo’.

Pendekatan berkenaan diperkukuh menerusi pelibatan aktif di peringkat antarabangsa serta penawaran pengalaman unik yang mampu menarik pelbagai segmen pelancong.

Pada masa yang sama, komitmen dalam kelestarian terus menjadi teras pembangunan pelancongan Sarawak, melibatkan dasar, program serta kerjasama merentasi keseluruhan ekosistem industri.

Pengiktirafan dalam kategori pelancongan lestari turut didorong impak berterusan Rainforest World Music Festival yang kini menjadi platform global bagi pertukaran dan pemeliharaan budaya.

Festival berkenaan bukan sekadar acara muzik, malah berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan komuniti, memelihara warisan serta mempromosikan amalan lestari di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, anugerah bagi agensi promosi pelancongan serantau terunggul menonjolkan kejelasan strategi STB yang berpaksikan teras CANFF iaitu Culture, Adventure, Nature, Food dan Festivals.

Gabungan penceritaan yang tersusun dan strategi komunikasi yang kukuh, termasuk kehadiran digital yang semakin berkembang, membolehkan Sarawak menonjol dalam landskap pelancongan global yang kompetitif.

Seiring usaha berterusan memacu agenda pelancongan, Sarawak kekal komited untuk membangunkan destinasi yang bermakna, bertanggungjawab dan mampan, dengan penekanan kepada impak jangka panjang, integriti serta legasi.

Sebagai Gateway to Borneo, Sarawak bersedia menyambut kedatangan pelancong dari seluruh dunia untuk merasai pengalaman unik yang berteraskan keaslian, kelestarian dan nilai budaya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU