KUCHING: Sarawak Tourism Board (STB) memperluas jaringan industri pelancongan dengan Indonesia menerusi sesi perniagaan dan jaringan di Surabaya serta Jakarta, baru-baru ini.
Menurut STB dalam kenyataan, program Sarawak: Gateway to Borneo Business Networking Session (B2B) Indonesia 2026 itu menyediakan platform kepada pemain industri pelancongan kedua-dua negara untuk bertukar pandangan mengenai pasaran serta meneroka peluang kerjasama.
Program berlangsung di JW Marriott Hotel Surabaya pada 28 September dan Pullman Jakarta Indonesia Thamrin CBD pada 30 September itu menghimpunkan wakil industri pelancongan Sarawak bersama rakan dagang Indonesia untuk membincangkan potensi kerjasama secara langsung.
Pengarah Pemasaran (ASEAN dan Domestik) STB, Gustino Basuan berkata, Indonesia merupakan pasaran penting bagi Sarawak, selain menjadi rakan pelancongan serantau yang mempunyai hubungan budaya, sejarah dan geografi yang rapat.
Usaha itu selari dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai Gateway to Borneo — memanfaatkan kekuatan saling melengkapi antara Sarawak dan Indonesia dan membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri kedua-dua pihak.
Program berkenaan turut menampilkan kemas kini destinasi dan syarikat penerbangan, pembentangan produk pelancongan Sarawak serta sesi padanan perniagaan secara bersemuka. Perbincangan meliputi pembangunan pakej pelancongan, promosi bersama, hubungan pengangkutan udara dan kerjasama perdagangan.
STB berkata, sesi berkenaan turut membantu pemain industri Sarawak memahami pasaran Indonesia dengan lebih mendalam, selain membolehkan rakan dagang Indonesia meneroka produk Sarawak mengikut segmen pelanggan bagi menyokong pembangunan produk dan pengedaran yang lebih meluas.



