ARTIKEL

Johnny Pang berucap pada Program Pemantapan Jati Diri Calon STPM 2026 yang disertai pelajar Tingkatan Enam dari SMK Bintulu dan SMK Bandar Bintulu.

STPM bentuk jati diri, disiplin pelajar — Johnny Pang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bukan sekadar medium untuk menilai pencapaian akademik, malah berperanan membentuk disiplin, ketabahan dan jati diri pelajar sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, tempoh pengajian di Tingkatan Enam merupakan fasa penting dalam membentuk karakter, daya tahan mental dan kematangan diri yang diperlukan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta memasuki alam pekerjaan.

Menurutnya, setiap cabaran yang dihadapi sepanjang persediaan menghadapi STPM perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran yang mampu melahirkan individu lebih berdisiplin, cekal dan berdaya saing.

“STPM sememangnya satu laluan pendidikan yang mencabar kerana pelajar perlu mengurus tekanan pembelajaran, komitmen akademik serta harapan keluarga dan diri sendiri.

“Namun, cabaran itu sebenarnya menjadi asas penting dalam membina masa depan melalui ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemantapan Jati Diri Calon STPM 2026 yang disertai pelajar Tingkatan Enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu dan SMK Bandar Bintulu, di sini, pada Khamis.

Johnny Pang merakam gambar bersama peserta Program Pemantapan Jati Diri Calon STPM 2026.

Johnny Pang berkata, kejayaan sebenar tidak seharusnya diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembentukan sahsiah, integriti dan nilai positif yang menjadi asas kecemerlangan seseorang individu.

Katanya, pelajar yang memiliki disiplin diri, semangat juang tinggi serta kesediaan untuk bangkit daripada kegagalan mempunyai peluang lebih besar untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Latar belakang bukan penentu kejayaan. Sebaliknya, kesungguhan, fokus dan ketekunan dalam menghadapi cabaran merupakan faktor utama yang menentukan kejayaan seseorang,” katanya.

Beliau turut menggesa pelajar agar menghargai tempoh persekolahan sebagai masa terbaik untuk menimba ilmu, mengembangkan potensi diri dan membina asas kukuh sebelum melangkah ke alam dewasa.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan ilmu pengetahuan sebagai aset paling bernilai kerana tidak boleh dirampas atau hilang seperti harta benda.

“Ilmu, kemahiran dan karakter yang dibina hari ini akan menjadi bekalan sepanjang hayat. Gunakan peluang pendidikan yang ada untuk meningkatkan keupayaan diri dan mengejar cita-cita yang diimpikan.

“Percayalah kepada kemampuan diri sendiri. Setiap daripada anda mempunyai potensi untuk berjaya serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara pada masa hadapan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU