ARTIKEL

Valencia tidak dapat menahan air mata ketika menceritakan tentang pengorbanan ibu bapanya sehingga menjadi salah seorang pelajar cemerlang STPM. (Einstein Unji)

STPM: Valencia Belajar 10 Jam Sehari Untuk Ubah Nasib Keluarga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Demi mengubah nasib keluarganya, Valencia Tajing sanggup mengorbankan masa rehat dan tidur dengan belajar sehingga 10 jam sehari sebelum berjaya meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Anak muda berusia 20 tahun dari SMK Saribas itu berkata, kejayaan tersebut menjadi langkah pertama ke arah merealisasikan impiannya untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada kedua-dua ibu bapanya.

Menurut Valencia, segala pengorbanan yang dilakukan sepanjang satu tahun enam bulan pengajian STPM didorong keinginan untuk membalas jasa ibu bapanya yang selama ini bertungkus lumus mencari rezeki demi keluarga.

Ketika ditemui media, Valencia tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan pengorbanan ayahnya yang bekerja sebagai buruh, manakala ibunya pula bertugas sebagai pekerja pembersihan di sebuah sekolah rendah.

Valencia ketika ditemui wartawan selepas mengambil keputusan di SMK Tun Abang Haji Openg. (Einstein Unji)

“Saya memang mahu mengubah nasib keluarga. Saya mahu ibu bapa saya hidup lebih senang dan tidak perlu lagi bekerja keras seperti sekarang.

“Setiap kali saya melihat mereka pulang dari kerja, saya berasa sedih kerana mereka banyak berkorban untuk pendidikan saya. Jadi saya mahu menjadi yang terbaik untuk mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis Pengumuman STPM di SMK Tun Abang Haji Openg di sini, hari ini.

Menurutnya, ibu bapanya juga menjadi sumber kekuatan ketika beliau berdepan saat-saat sukar sepanjang mengikuti pengajian STPM.

Katanya, beliau pernah terfikir untuk berhenti belajar kerana merasakan sukatan pelajaran STPM terlalu mencabar dan memerlukan komitmen yang tinggi.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Valencia berkata beliau mengamalkan jadual pembelajaran yang ketat dengan memperuntukkan sehingga 10 jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran.

“Saya belajar bukan sahaja di sekolah, tetapi juga di rumah dan pada waktu subuh. Ketika itu suasana lebih tenang dan mudah untuk saya memahami pelajaran.

“Saya banyak membuat latihan terutama bagi subjek Pengajian Am yang agak mencabar kerana melibatkan pengiraan,” katanya.

Menurutnya, antara cabaran terbesar yang dihadapi ialah mengurus masa kerana perlu menghadiri kelas, menyiapkan tugasan serta kerja kursus dalam tempoh yang singkat.

Segala pengorbanan yang dibuat akhirnya berbaloi apabila beliau diumumkan sebagai antara pelajar yang berjaya memperoleh PNGK 4.0 dalam STPM.

Selepas ini, Valencia berhasrat meneruskan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sejarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau yang dipanggil menghadiri sesi temu duga bagi program tersebut berharap impiannya untuk menjadi seorang guru akan menjadi kenyataan.

BERITA LAIN

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,