KUCHING: Kerjasama awam-swasta (PPP) terus diberi penekanan dalam usaha mempertingkatkan sistem pengangkutan awam Sarawak, termasuk inisiatif bas pintar, bas sungai, dan pemodenan terminal bas serta lori.
Menteri Pengangkutan Sarawak (MOTS), Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata langkah ini mampu menarik pelaburan sektor swasta dalam pembelian kenderaan untuk meningkatkan keterhubungan, keselamatan, dan kecekapan perkhidmatan.
“Penyertaan sektor swasta bukan sahaja dapat menambah baik kemudahan sedia ada, malah turut meningkatkan kecekapan logistik, menjadikan sistem pengangkutan awam Sarawak lebih cekap, mampan, dan mudah diakses,” katanya dalam satu kenyataan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pengangkutan Awam Sarawak (SPTC) Bil.1/2025 yang berlangsung di Kuching baru-baru ini.
Dalam ucapan pembukaannya, beliau menekankan keperluan strategi pembangunan pengangkutan yang komprehensif bagi memastikan daya tahan dan kesiapsiagaan sistem pengangkutan Sarawak pada masa hadapan.
Lee juga menekankan pentingnya memperluas rangkaian jalan raya, mengurangkan kesesakan lalu lintas, dan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan kargo dalam sektor pengangkutan darat dan logistik.
“Usaha mempertingkatkan infrastruktur pejalan kaki dan sistem pengangkutan awam perlu menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang,” ujarnya.
Bagi sektor pengangkutan udara, beliau menyatakan bahawa kemudahan kargo udara perlu dipertingkatkan bagi menyokong pertumbuhan sektor logistik dan ekonomi Sarawak.
“AirBorneo memainkan peranan penting dalam memperluaskan perkhidmatan udara luar bandar serta meningkatkan keterhubungan serantau,” jelasnya.
“Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Baharu Kuching merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang Sarawak, termasuk usaha menaik taraf lapangan terbang di Kuching dan Miri,” katanya.
Dalam pengangkutan sungai, terutamanya di kawasan luar bandar, Lee menekankan keperluan untuk memodenkan infrastruktur sedia ada, memastikan pematuhan keselamatan, dan mengintegrasikan penyelesaian pengangkutan mesra alam.
“Cadangan penambahbaikan jeti dan pelaburan dalam inisiatif pengangkutan sungai mampan amat diperlukan untuk mewujudkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar bagi masyarakat luar bandar,” tambahnya.
Mesyuarat itu juga menjadi platform penting untuk membincangkan cabaran pengangkutan di semua bahagian, dengan 12 Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Awam Bahagian (DPTC) membentangkan isu utama dan mencadangkan projek baharu untuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Setiap bahagian harus mengemukakan cadangan yang terancang untuk memastikan pembangunan pengangkutan memenuhi keperluan jangka pendek dan panjang.
“Dalam RMK-13, semua inisiatif pengangkutan harus menekankan aspek kelestarian, termasuk pengurangan pelepasan karbon, penggunaan teknologi hijau, serta penyelesaian pengangkutan moden yang memberi manfaat jangka panjang,” ujarnya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil; Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep; serta Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS), Datuk Wong Hee Sieng.

