KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyambut baik peruntukan RM454.34 juta bagi sektor pendidikan dalam Belanjawan Sarawak 2027, yang dilihat mampu menyokong pembangunan pendidikan, memperluas akses pembelajaran dan meningkatkan peluang murid di negeri ini.
Presidennya Kullin Djayang berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas perhatian berterusan ke atas sektor pendidikan, termasuk usaha memperkukuh ekosistem pembelajaran dan pembangunan modal insan.
Beliau yang kini menghadiri Persidangan Pendidikan Antarabangsa di Jakarta, Indonesia menambah, penubuhan Majlis Pendidikan Sarawak merupakan antara inisiatif yang disambut baik bagi menyelaras pembangunan pendidikan negeri.
“Majlis ini berpotensi menjadi platform untuk memperkukuh bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan guru serta pendidikan tertiari, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak sebagai hab pendidikan serantau,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini ketika mengulas tentang Belanjawan Sarawak 2027.
Pada masa yang sama, Kullin menyambut baik penubuhan kampus baharu sekolah menengah antarabangsa Yayasan Sarawak yang disifatkan mampu memperluas akses anak Sarawak kepada pendidikan bertaraf antarabangsa.
Katanya, usaha memperluas peluang pendidikan perlu disertai perancangan yang memastikan lebih ramai murid mendapat manfaat tanpa mengira latar belakang keluarga atau lokasi tempat tinggal.
Dalam pada itu, beliau memberitahu STU menghargai inisiatif bantuan kelengkapan pakaian seragam sekolah kepada keluarga berpendapatan rendah kerana langkah itu dapat membantu meringankan beban perbelanjaan persekolahan.
Tambahnya, kemudahan pengangkutan murid yang turut diberikan perhatian penting bagi membantu pelajar, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang berdepan kekangan jarak serta pilihan pengangkutan.
“STU juga menyambut baik pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) yang bertujuan memperkukuh penguasaan bahasa dalam kalangan murid, selain pembangunan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menyediakan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.
Beliau turut berharap peruntukan bagi menaik taraf sekolah daif dapat dilaksanakan dengan lancar, terutama di kawasan luar bandar yang masih memerlukan kemudahan pembelajaran lebih selesa dan selamat.
Katanya, usaha menaik taraf sekolah perlu diperluas ke seluruh pelosok Sarawak berdasarkan tahap keperluan setiap sekolah bagi memastikan murid mendapat persekitaran pembelajaran yang kondusif.


