KUCHING: Sepasang suami isteri dihadap ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas kesalahan melakukan pengabaian terhadap anak lelaki mereka berusia tujuh tahun, hingga berlaku insiden anak mereka menolak rakan sebaya dari sebuah tingkat bangunan flat di Tabuan, 8 Julai lalu.
Tertuduh masing-masing berusia 39 dan 38 tahun itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di dua Mahkamah Sesyen berbeza.
Mengikut pertuduhan, mereka sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun itu meninggalkan anak mereka tanpa pengawasan yang munasabah.
Mereka melakukan kesalahan itu di sebuah rumah flat di Tabuan Park, Jalan Setia Raja, sekitar jam 4.00 petang, 8 Julai lalu.
Pendakwaan kes mengikut Seksyen 33(1) (a) Akta Kanak-kanak, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.
Hakim Iris Awen Jon membenarkan ikat jamin RM8,000 (tanpa deposit) beserta seorang penjamin tempatan terhadap bapa kanak-kanak terbabit.
Manakala, Hakim Noorhisham Mohd Jaafar membenarkan ibu kanak-kanak yang bekerja sebagai tukang cuci itu diikat jamin sebanyak RM5,000 beserta seorang penjamin tempatan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 28 Ogos depan.
Semasa sebutan kes hari ini, mahkamah dimaklumkan bahawa anak tertuduh telah menolak rakan sebayanya berusia tujuh tahun dari sebuah tingkat bangunan flat hingga mengalami kecederaan.
Anak tertuduh dikatakan bertindak demikian apabila mangsa enggan memberikan wang yang diminta, ia sekali gus menjadikan pelaku pembuli rakan sebayanya.
Semasa prosiding, bapa pelaku yang bekerja sebagai pemandu lori itu menyatakan bahawa anak lelakinya dijaga oleh kakaknya berusia 18 tahun.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Chuah Kai Sheng dan DPP Adriana Maisarah Mohd Farid, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.




