Suami isteri positif Covid-19 ditangkap

KUCHING: Pasangan suami isteri warga Indonesia positif covid-19 yang disyaki melarikan diri berjaya dikesan semula oleh pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua suspek yang dikenali sebagai Darussalam dan Hasanah ditemui di jalan taman perumahan berhampiran Jalan Matang Baru sekitar jam 11.15 malam.

“Untuk makluman, pihak IPD Kuching bersama KKM telah berjaya mengesan semula pasangan Indonesia yang disahkan positif COVID-19.

“Kedua-dua suspek seterusnya dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan dan rawatan susulan,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, pasangan tersebut antara buruh warga asing yang menetap di kuartes pekerja Petrajaya telah dibuat ujian saringan covid-19 oleh KKM pada 16 Jun, lalu.

Hasil ujian saringan yang dilakukan menunjukkan keputusan positif menyebabkan pihak KKM terpaksa ke lokasi semula untuk menahan pesakit pada 17 Jun.

Suspek bagaimanapun dilaporkan tidak berada di lokasi dan dipercayai melarikan diri sebelum berjaya ditahan semula hasil laporan pihak polis.