ARTIKEL

Suara yang hilang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DUB! Hawa tersentak.

Serentak dengan itu terdengar suara Hanim menengking Alia.

Hawa menggeleng beberapa kali.

Anak bongsunya itu telah banyak berubah setelah kematian ayahnya.

Suara yang sentiasa memeriahkan suasana dalam rumah kini telah hilang.

Gelagatnya yang suka menyakat adakalanya mendatangkan kemarahan kakak-kakak dan abang.

Ketawa Alia setiap kali melihat kemarahan kakak-kakak dan abang sering menjengkelkan mereka.

Setelah kematian ayah, Alia menjadi seorang yang pendiam.

Hawa juga menyedari anaknya itu tidak berenggang dengan telefon bimbit ayah.

Hanya bila ke sekolah barulah telefon itu ditinggalkan setelah disimpan rapi dalam almari.

Pantang bagi Alia kakak-kakak dan abang menyentuh telefon itu.

Andai hilang daripada pandangannya, dia akan mengamuk.

Mujur telefon itu cepat ditemui.

Pernah dia melihat Alia tersenyum sendiri sambil mendengar sesuatu dari telefon itu.

Namun kali ini sudah seminggu telefon itu hilang daripada pandangan Alia.

Seluruh rumah diselongkar.

Dia juga menuduh abang dan kakak-kakak menyembunyi telefon itu.

Diselongkarnya bilik mereka sehingga menimbulkan kemarahan abang dan kakak-kakak.

Bila tidak dijumpai dituduhnya mereka membuang telefon itu.

Hawa berusaha mendekati anak bongsunya itu.

Bertanya kenapa dia begitu sayangkan telefon ayah.

Mulanya Alia enggan memberitahu.

Dia cuma menggeleng beberapa kali.

Hawa enggan putus asa. Situasi yang ditimbulkan Alia harus ditangani segera.

Timbul rasa khuatir di hati gelagat Alia akan menjadi lebih parah.

Khuatir juga akibat yang tidak baik menimpa Alia gara-gara terlalu obses dengan telefon ayah.

Dia terus memujuk Alia.

Akhirnya setelah dipujuk beberapa kali Alia memberitau situasi sebenar.

“Dalam telefon tu ada suara abah.”

Begitu katanya sambil merenung wajah ibu dengan sayu.

“Bagaimana suara abah ada dalam telefon tu?”

Soal Hawa yang berasa hairan  mendengar kata-kata anak bongsunya itu.

“Sebelum abah meninggal, Alia tidak ingat bila, abah ada kata, kalau rasa rindu kat abah, dengar suara dalam telefon tu.

Jadi, bila Alia rindukan abah, Alia dengarlah suara ayah dalam telefon tu.” Jelas Alia.

Hawa tersentak mendengar kata-kata anaknya itu.

Hawa tiba-tiba terasa sayu.

Airmata mula bergenang.

Terus dipeluknya Alia.

Airmata merembes keluar namun cepat-cepat disekanya.

Dia tidak mahu anaknya itu melihat dia menangis.

Dirungkainya pelukan terus menatap wajah Alia.

“Esok kita pergi ke rumah baru abah.”

“Boleh ke?” Tanya Alia.

“Kita boleh pergi ke rumah baru abah bila-bila masa saja.”

Mendengar kata-kata ibu, Alia tersenyum sambil mengangguk lalu memeluk ibu.

BERITA LAIN

PEJUANG NAFKAH

Dia tidak pernah ambil tahu jika wang di saku sering berbaki cukup-cukup nyawa. Dia tidak pernah peduli kalau ringgit makin mengukuh merujuk ungkapan orang ekonomi.

GELANDANGAN

Melintasi kedai serba ada kulihаt dia berbaring santai menyesak ruang masуk ke pintu kedai pelanggan lalu-lalang memandang sinis menutup hidung. Kita ini miskin atau kaya

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha