ARTIKEL

Dr Dzul Hadzwan Husaini

Subsidi bahan api lindungi rakyat dan industri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Subsidi bahan api yang diunjurkan mencecah RM40 bilion masih diperlukan untuk melindungi rakyat dan industri daripada kejutan harga tenaga global, namun Malaysia perlu memperkukuh infrastruktur elektrik serta kerjasama tenaga serantau bagi mengurangkan kebergantungan kepada subsidi dalam jangka panjang.

Pensyarah Kanan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dzul Hadzwan Husaini berkata, ketidaktentuan geopolitik, khususnya konflik di Asia Barat, menjadikan subsidi tenaga instrumen penting untuk membendung kenaikan kos sara hidup dan operasi perniagaan.

Katanya, keperluan itu lebih ketara di kawasan yang mempunyai kemudahan pengangkutan awam terhad, apabila penduduk bergantung kepada kenderaan persendirian untuk urusan harian.

Subsidi juga membantu menstabilkan kos pengeluaran, pengangkutan dan pengedaran barangan, sekali gus mengurangkan tekanan inflasi dalam jangka pendek.

“Pengekalan subsidi tenaga masih diperlukan ketika ekonomi global tidak menentu, selagi kerajaan mampu mengurus kedudukan fiskal dengan baik. Walaupun menanggung komitmen subsidi yang besar, kerajaan menyasarkan pengurangan defisit fiskal daripada 3.6 peratus pada 2026 kepada 3.3 peratus pada 2027,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Beliau mengingatkan, subsidi tidak boleh dijadikan penyelesaian kekal kerana konflik geopolitik dan harga tenaga tinggi yang berpanjangan boleh meningkatkan tekanan terhadap kewangan negara.

Kerajaan perlu menambah baik penyasaran subsidi, menilai keutamaan perbelanjaan serta memperkukuh kutipan hasil bagi memastikan kemampanan fiskal.

Dalam jangka panjang, katanya, pelaburan untuk memperkukuh grid elektrik nasional dan kerjasama tenaga serantau menerusi ASEAN Power Grid penting bagi meningkatkan keselamatan bekalan, kebolehpercayaan sistem serta daya saing ekonomi.

“Keterjaminan tenaga bukan sekadar memastikan bekalan mencukupi, tetapi juga menjamin tenaga yang stabil, mampu milik dan mudah diakses oleh isi rumah serta industri.

“Langkah itu turut penting kepada sektor pembuatan, semikonduktor dan pusat data yang memerlukan bekalan elektrik stabil pada kos yang kompetitif,” katanya.

Dzul turut mengingatkan bahawa peningkatan kapasiti tenaga bersih tidak semestinya mengurangkan penggunaan bahan api fosil secara mutlak.

Fenomena kesan lantunan boleh berlaku apabila peningkatan kecekapan atau penurunan kos tenaga mendorong penggunaan lebih tinggi, sekali gus mengecilkan penjimatan yang dijangka.

Mengulas Belanjawan 2027, beliau berkata pendekatan sektor tenaga perlu mengimbangi perlindungan ekonomi dalam jangka pendek dengan pembinaan sistem tenaga yang lebih berdaya tahan.

Sementara itu, peningkatan gaji minimum kepada RM2,000 berpotensi menaikkan kos operasi sesetengah perniagaan dan harga barangan jika kos tambahan dipindahkan kepada pengguna.

Justeru, katanya, kerajaan perlu memastikan persaingan pasaran yang sihat dan memantau penetapan harga supaya manfaat subsidi serta peningkatan pendapatan pekerja tidak terhakis akibat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira