ARTIKEL

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Datuk Seri Mohd Hishamuddin Yunus.

SUHAKAM gesa kerajaan gubal Akta Udara Bersih

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Malaysia perlu mempercepatkan penggubalan Akta Udara Bersih bagi menetapkan piawaian kualiti udara ambien yang boleh dikuatkuasakan di sisi undang-undang susulan krisis jerebu rentas sempadan yang semakin membimbangkan, khususnya di Sarawak.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Datuk Seri Mohd Hishamuddin Yunus berkata, perlindungan kesihatan awam serta hak kepada alam sekitar yang bersih, sihat dan mampan perlu menjadi objektif utama akta berkenaan.

Menurutnya, keadaan jerebu yang semakin memburuk di Malaysia, khususnya di Sarawak, menyebabkan beberapa kawasan merekodkan tahap kualiti udara yang berbahaya sehingga memerlukan langkah kecemasan, termasuk penutupan sekolah.

“Akses kepada udara bersih merupakan hak asasi manusia yang asas, manakala pencemaran jerebu boleh menjejaskan pelbagai hak lain, termasuk hak untuk hidup, kesihatan, pendidikan, mendapatkan maklumat serta menikmati keadaan kerja yang selamat dan sihat,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Hishamuddin berkata, jerebu rentas sempadan sebahagian besarnya berpunca daripada aktiviti manusia, termasuk amalan guna tanah yang tidak mampan, kemerosotan tanah gambut, peluasan aktiviti pertanian serta kebakaran tanah dan hutan.

Katanya, kelemahan dalam aspek kebertanggungjawaban dan tadbir urus alam sekitar turut menjadi antara faktor yang perlu diberi perhatian dalam menangani isu berkenaan.

“Walaupun keadaan cuaca boleh memburukkan keadaan jerebu, ia tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada punca asas yang boleh dicegah,” katanya.

Dalam pada itu, SUHAKAM turut menyatakan kebimbangan terhadap kesan pendedahan berpanjangan kepada pencemaran jerebu, khususnya zarah halus (PM2.5), terhadap kesihatan awam.

Mohd Hishamuddin berkata, risiko berkenaan lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak, wanita hamil, warga emas, orang kurang upaya serta individu yang mempunyai kerentanan kesihatan sedia ada.

“Pekerja luar dan komuniti berpendapatan rendah juga mungkin mempunyai pilihan yang lebih terhad untuk mengurangkan pendedahan, terutama apabila mata pencarian mereka memerlukan mereka bekerja di luar atau akses kepada perlindungan, penjagaan kesihatan dan maklumat adalah terhad,” katanya.

Untuk rekod, peraturan berkaitan kualiti udara bersih di Malaysia kini ditetapkan melalui Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 yang dibuat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU