ARTIKEL

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Datuk Seri Mohd Hishamuddin Yunus

SUHAKAM sedia bekerjasama tangani isu alam sekitar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Akses kepada keadilan alam sekitar perlu diperkukuh termasuk melalui kajian semula dan pindaan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi memudah cara litigasi alam sekitar serta melindungi penyertaan awam yang bermakna dalam perkara berkaitan alam sekitar.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Datuk Seri Mohd Hishamuddin Yunus berkata, kerjasama serantau melalui mekanisme ASEAN, termasuk Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP), juga perlu diperkukuh bagi menangani punca pencemaran jerebu rentas sempadan.

“Langkah berkenaan termasuk meningkatkan ketelusan, perkongsian maklumat, pemantauan titik panas, pencegahan, penguatkuasaan dan kebertanggungjawaban,” katanya dalam kenyataan.

“Kerajaan juga perlu memenuhi tanggungjawab melindungi hak untuk hidup dan hak asasi lain di bawah Perlembagaan Persekutuan selain memperkukuh komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta Deklarasi ASEAN 2025 mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Hishamuddin berkata, hak kepada alam sekitar yang bersih, sihat dan mampan merupakan antara tumpuan utama suruhanjaya itu.

Pada 2025 katanya, SUHAKAM menerbitkan laporan Silent Enemy: Haze Pollution and the Right to Clean Air yang meneliti punca dan kesan pencemaran jerebu terhadap hak asasi manusia, selain mengenal pasti jurang dalam kerangka perundangan serta institusi tadbir urus alam sekitar di Malaysia.

“Tahun ini, usaha berkenaan diteruskan menerusi Forum Hak Asasi Manusia, Perniagaan dan Keadilan Iklim 2026 yang menggariskan tanggungjawab negara dan sektor perniagaan dalam menangani kemudaratan alam sekitar serta melindungi hak asasi manusia.

“Dalam pada itu, SUHAKAM mahu Pelan Tindakan Nasional mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) dilaksanakan sepenuhnya, termasuk langkah memperkukuh kebertanggungjawaban korporat serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan hak asasi manusia,” katanya.

Menurut Mohd Hishamuddin, pelaksanaan SDG berkaitan juga perlu dipercepatkan, khususnya dalam aspek kesihatan, komuniti mampan, tindakan iklim dan perlindungan alam sekitar menerusi penyelarasan institusi yang lebih kukuh serta penyertaan pihak berkepentingan yang bermakna.

Tambahnya, krisis jerebu yang berulang menunjukkan hak kepada udara bersih tidak boleh dilindungi melalui langkah reaktif semata-mata.

“Sebaliknya, pendekatan menyeluruh berasaskan hak asasi manusia yang membabitkan seluruh kerajaan dan masyarakat perlu diperkukuh bagi menangani punca struktur pencemaran jerebu serta memastikan kesihatan awam, kelestarian alam sekitar dan maruah manusia tidak dikorbankan demi kepentingan ekonomi jangka pendek,” jelasnya.

SUHAKAM katanya turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan, organisasi masyarakat sivil, komuniti terjejas, sektor perniagaan dan pihak berkepentingan lain bagi mengusahakan penyelesaian yang berkesan dan berkekalan.

Beliau menjelaskan, alam sekitar yang menyokong kehidupan dan kesejahteraan adalah milik bersama tanpa mengira gender, kaum, agama, kewarganegaraan, status undang-undang mahupun latar belakang sosioekonomi.

“Kemudaratan alam sekitar tidak mengenal sempadan dan kesannya boleh dirasai jauh daripada puncanya.

Justeru, tanggungjawab untuk melindunginya juga perlu dipikul bersama, bukan sahaja demi mereka yang terjejas hari ini, tetapi juga demi generasi akan datang,” katanya.

Kajian semula atau pindaan terhadap Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dicadangkan bagi memudah cara litigasi (proses perundangan) isu berkaitan alam sekitar.

Ini bertujuan membolehkan rakyat atau pihak terjejas membawa isu pencemaran atau pelanggaran hak alam sekitar ke mahkamah dengan lebih berkesan, telus dan mudah.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira