MUKAH: Walaupun sibuk melaksanakan tugas rutin sebagai pasukan penyelamat dan penguat kuasa, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mukah tetap meluangkan masa mengeratkan hubungan silaturahim menerusi perlawanan bola tampar persahabatan di sini, malam tadi.
Pertemuan antara dua agensi itu bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama, selain memupuk semangat berpasukan dalam kalangan warga kerja masing-masing.
Sepanjang perlawanan, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga serta kesungguhan tinggi, sekali gus mencerminkan disiplin dan semangat kerja berpasukan yang mantap.
Perlawanan itu turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mukah, Kapt (PA) Zuriza Sharkawi dan Ketua Cawangan JPJ Mukah, Dayang Feridzah Awang Kadir yang memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.
Sorakan serta sokongan rakan setugas turut memeriahkan suasana, menjadikan perlawanan persahabatan itu lebih bermakna dan penuh semangat muhibah.
Dalam kenyataan hari ini, APM Mukah memaklumkan bahawa penganjuran perlawanan persahabatan seumpama itu bukan sahaja memberi manfaat dari segi kesihatan fizikal, malah menjadi platform berkesan untuk memperkukuh hubungan kerja antara agensi.
“Selain itu, aktiviti sukan juga mampu memupuk semangat persefahaman serta saling mengenali dalam suasana yang lebih santai dan harmoni.
“Kami berharap penganjuran perlawanan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan mengukuhkan jaringan kerjasama antara agensi serta memupuk budaya kerja berpasukan yang positif,” menurut kenyataan itu.



