BANGKOK: Malaysia melakar kejayaan luar biasa apabila atlet muda negara, Wa Sern Low dan Harith Danial Jefri menamatkan aksi epik di final skuasy lelaki jumbo doubles pada Sukan SEA 2025 dengan kemenangan 2-1 ke atas Filipina, meraih pingat emas yang berharga.
Pasangan negara memulakan permainan dengan cemerlang, menamatkan set pertama dengan kemenangan 11-4.
Namun, Filipina tidak mudah menyerah, bangkit dengan kemenangan 11-8 dalam set kedua, memaksa gandingan Malaysia untuk bekerja lebih keras.
Set ketiga menjadi penentu dan Malaysia menunjukkan ketahanan mental yang luar biasa.
Walaupun ketinggalan pada awalnya, Wa Sern dan Harith bangkit dengan permainan mantap, meraih kemenangan 11-5 dan berjaya membawa pulang emas untuk negara.
“Rasa lega sangat selepas satu setengah jam bermain.
Emosi bercampur baur, tapi yang pasti, saya nak nikmati kemenangan ini,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan di Kolej Vajiravudh di sini, semalam.
Sementara itu, Wa Sern turut berkongsi perasaan yang sama, memuji ketabahan mereka dalam bangkit di set ketiga.
Dalam acara berlainan, Harith yang berasal dari Sarawak juga mencatat kejayaan peribadi dengan meraih emas dalam acara campuran bersama Sehveetrraa Kumar, menjadikan beliau antara wira Malaysia dengan dua pingat emas.
“Tidak sangka dapat dua emas. Saya sangat berbangga kerana dapat kembali selepas kecederaan dan pembedahan awal tahun ini. Ini semua hasil usaha keras,” ujar Sehveetrraa. – TVS

