KUCHING: Persiapan penganjuran Sukan SEA 2027 di Sarawak terus diperkukuh dengan pembinaan pusat media utama bertaraf antarabangsa yang dijangka siap sebelum temasya berlangsung.
Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, jumlah pengamal media dari seluruh ASEAN yang akan membuat liputan masih belum dimuktamadkan.

“Jumlah itu masih lagi dalam perbincangan di peringkat jawatankuasa, namun kita mahukan seramai mungkin media hadir untuk membuat liputan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Sukan Sarawak, Petra Jaya, hari ini.
Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memaklumkan sebuah pusat media khas sedang dibina berhampiran Bangunan Baitul Makmur Dua.

“Bangunan pusat media ini kini dalam pembinaan dan akan siap sebelum Sukan SEA 2027.
Lokasinya berhampiran Baitul Makmur dan di luar kompleks utama, tetapi jaraknya dekat,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan itu direka untuk menampung keperluan pengamal media sepanjang temasya berlangsung.
“Saya yakin satu bangunan ini mampu menampung semua keperluan media.

Kita akan pastikan kapasiti dan kemudahan mencukupi, jadi tidak perlu bimbang,” ujarnya.
Tambah beliau, pusat media tersebut akan berfungsi sebagai pusat penyiaran utama yang dikendalikan oleh TV Sarawak (TVS).
“Ya, ia akan berfungsi seperti pusat siaran antarabangsa, iaitu gabungan pusat penyiaran dan pusat media utama,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata setiap tempat pertandingan, termasuk Stadium Sarawak, turut dilengkapi pusat media sendiri.
“Di setiap tempat seperti Stadium Sarawak, kita ada pusat media kecil.
Namun pusat utama akan berada di luar sebagai hab penyelarasan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur lain seperti pusat seni persembahan juga perlu disiapkan sebelum temasya bermula.
“Kita mahu Kuching lengkap dengan semua kemudahan ketika Sukan SEA 2027 nanti, bukan sahaja sukan tetapi juga seni dan budaya,” katanya. — ALESSANDRI SYLVA (Pelatih UNIMAS)


