ARTIKEL

ANTARA sukan rakyat yang diadakan semasa Program Semarak Sarawak 2026.

SUKAN TRADISIONAL warisan bangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KITA sering bangga dengan warisan budaya seperti makanan tradisional, pakaian, tarian dan bahasa.

Namun begitu, ada satu lagi khazanah yang kadangkala terlepas daripada perhatian, iaitu sukan tradisional, sedangkan permainan rakyat yang diwarisi turun-temurun itu juga sebahagian daripada identiti dan jati diri masyarakat.

Malangnya, sukan tradisional semakin jarang dimainkan. la lebih banyak dipertontonkan ketika sambutan tertentu atau dalam program kebudayaan sebelum kembali dilupakan.

Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil suatu hari nanti, generasi muda hanya mengenali permainan tersebut melalui gambar, video atau buku sejarah.

Persoalannya, bagaimanakah kita dapat memastikan sukan tradisional tidak sekadar menjadi nostalgia?

Jawapannya mudah. Sukan tradisional perlu terus dimainkan, diajarkan dan diberikan ruang dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Warisan hanya akan terus hidup apabila diamalkan, bukannya sekadar diperkatakan.

Saya berpendapat, sekolah merupakan tempat terbaik untuk memulakan usaha tersebut kerana aktiviti kokurikulum boleh dipelbagaikan dengan permainan seperti congkak, galah panjang, tarik upih, sepak raga serta permainan tradisional lain mengikut keunikan setiap kaum dan daerah.

Melalui pendekatan itu, murid bukan sahaja dapat beriadah, malah mempelajari sejarah, nilai budaya serta semangat kerjasama yang terkandung dalam setiap permainan.

Komuniti pula boleh memainkan peranan dengan menjadikan sukan tradisional sebagai sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan.

ANTARA sukan rakyat yang diadakan semasa Program Semarak Sarawak 2026.

Karnival kampung, pesta rakyat, hari keluarga atau program belia boleh dijadikan platform untuk menghidupkan semula permainan yang semakin dilupakan.

Usaha seperti ini dapat dilihat menerusi Program Semarak Sarawak 2026 anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Mukah.

Pelbagai permainan tradisional seperti menjala botol, melastik botol menggunakan getah dan boling kelapa dipertandingkan bagi memperkenalkan semula warisan masyarakat kepada generasi muda.

Mungkin ramai pernah mendengar nama permainan tersebut, namun tidak mengetahui cara bermain, peraturan serta nilai budaya yang tersirat di sebaliknya.

Program seumpama itu membuktikan bahawa sukan tradisional masih mampu menarik penyertaan apabila diberikan ruang yang sesuai.

Dalam era digital, media sosial juga wajar dimanfaatkan untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada khalayak yang lebih luas. Jika pelbagai cabaran dan permainan moden mampu menjadi tular mengapa tidak congkak, gasing atau permainan rakyat yang lain? Bayangkan video tutorial bermain congkak, pertandingan galah panjang atau aksi menarik permainan tradisional dikongsikan secara kreatif di platform digital.

Pendekatan sebegitu bukan sahaja mampu menarik perhatian golongan muda, malah menjadikan warisan budaya lebih dekat dengan kehidupan mereka.

Pada masa sama, generasi terdahulu perlu terus memainkan peranan sebagai pewaris ilmu.

Mereka bukan sahaja mengetahui teknik permainan, malah memahami sejarah, falsafah serta nilai yang terkandung dalam setiap warisan tersebut.

Pengalaman yang dikongsi secara langsung pastinya lebih bermakna berbanding dengan sekadar bacaan atau tontonan di media sosial.

Sokongan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pendidikan serta penganjur acara juga amat penting.

Sukan tradisional boleh dijadikan antara pengisian utama dalam sambutan perayaan, program pelancongan, hari keluarga atau acara komuniti.

Selain memelihara warisan, pendekatan itu juga mampu memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancong.

Sudah tentu terdapat permainan yang memerlukan sedikit penyesuaian mengikut keadaan semasa, khususnya di kawasan bandar yang mempunyai ruang yang terhad.

penyesuaian tersebut tidak akan menghilangkan nilai asal permainan, sebaliknya memastikan permainan itu terus relevan dan mudah disertai oleh masyarakat hari ini.

Yang lebih penting, kita perlu mengubah persepsi bahawa sukan tradisional hanya sesuai dimainkan ketika sambutan tertentu.

Hakikatnya, sukan tradisional boleh dijadikan aktiviti riadah harian di taman rekreasi, halaman rumah, dewan komuniti mahupun sekolah.

Jika kita benar-benar mahu mempertahankan identiti bangsa, maka sukan tradisional tidak boleh dibiarkan sekadar menjadi kenangan.

Sebaliknya, sukan tradisional perlu terus dihidupkan sebagai warisan yang membentuk masyarakat hari ini dan menjadi kebanggaan generasi akan datang.

BERITA LAIN

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU