KUCHING: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) meletak sasaran untuk cuba memperoleh sekurang-kurangnya enam pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI, Sarawak 2024.
Presiden SABA, Datuk Rahman Lariwoo menegaskan, himpunan pingat tersebut diharap menerusi empat kategori petinju lelaki dan dua daripada kelompok wanita.
“Seperti diinginkan Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan yang mahu kem tinju menghadiahkan sekurang-kurangnya enam pingat emas.
“Saya percaya sasaran tersebut mampu direalisasikan dengan mengambil kira persiapan pihak kita terhadap petinju ketika ini,” ujarnya.
Rahman berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Makan Tengahari SABA di salah sebuah hotel terkemuka, di sini, semalam.
Apatah lagi dengan sokongan pihak kementerian yang mencakupi segala aspek, ujar Rahman ia sesungguhnya menjadi cetusan semangat kepada semua petinju bagi menggapai impian tersebut.
Tambah Rahman, kredit Sarawak selaku tuan rumah temasya dwitahunan negara yang akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos nanti harus dimanfaat dengan sebaik mungkin.





