SIMANGGANG: Seramai 40 pemain akan dipanggil bagi mengikuti pemilihan akhir dalam usaha membentuk skuad petanque bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Presiden Persatuan Sukan Boules Sarawak, Datuk Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman berkata, sesi pemilihan pemain itu kelak akan berlangsung di Pusat Petanque Sarawak, Santubong, Kuching pada 10 dan 11 Februari ini.
Menurut Wan Abdillah, pemilihan pemain dua hari itu akan dikendalikan oleh ketua jurulatih baharu dari Thailand.
“Kita akan mengadakan sesi pemilihan akhir pemain untuk membentuk skuad bagi menghadapi Sukma 2026 di Selangor pada Ogos nanti,” ujar beliau pada sidang media selesai menyaksikan perlawanan sempena Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 di gelanggang petanque Sri Aman.
“Sekitar 40 pemain yang dipanggil, namun kami akan memilih 20 atlet sahaja, 10 lelaki dan 10 wanita,” tegas Wan Abdillah
Beliau berkata, sasaran pihaknya cuba mengenal pasti pemain terbaik dalam kejohanan ini (SUKSAR IV 2026) untuk dipanggil menyertai pemilihan itu kelak.
Bagaimanapun tambah beliau, pihaknya juga akan memanggil pemain dari kawasan yang lain jika mereka berpotensi.
Beliau menyatakan, pihaknya perlu menghantar senarai panjang nama atlet terbabit kepada Jawatankuasa Sukma 2026 selewat-lewatnya 13 Februari ini.

