ARTIKEL

Abdul Karim ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke SUKMA Selangor 2026 di Hotel Raia, di sini, hari ini. Foto Ghazali Bujang

SUKMA 2026: Sarawak mahu ‘Ibu Pertiwiku’ berkumandang setiap venue

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tiada ruang untuk sekadar melengkapkan penyertaan, sebaliknya kontinjen Sarawak mahu setiap penampilan di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 diakhiri dengan berkumandangnya lagu negeri “Ibu Pertiwiku” sebagai tanda kemenangan meraih pingat emas.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata itulah misi utama kontinjen Sarawak yang hadir sebagai juara bertahan dan menyasarkan sekurang-kurangnya 75 pingat emas pada temasya kali ini.

Tegasnya, sasaran berkenaan dibuat berdasarkan analisis prestasi atlet Sarawak dan sekiranya jumlah itu berjaya dicapai, ia diyakini mencukupi untuk membolehkan Sarawak mempertahankan kejuaraan keseluruhan.

“Selepas setiap final, kita mahu mendengar Ibu Pertiwiku. Lagu negeri itu hanya akan berkumandang apabila kita mendapat tempat pertama. Nombor dua tidak ada. Itulah misi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak ke SUKMA Selangor 2026 di Hotel Raia, di sini, hari ini.

Abang Johari ditemani Abdul Karim, Datuk Seri Fatimah Abdullah serta tetamu kehormat lain melakukan simbolik sasaran pingat emas SUKMA 2026 Selangor. Foto Ghazali Bujang

Pada masa sama Abdul Karim memberitahu pihaknya tidak menetapkan sasaran emas secara khusus mengikut jenis sukan bagi mengelakkan perkara itu menjejaskan semangat atlet atau pasukan yang bertanding.

Sebaliknya, beliau berharap setiap sukan mampu menyumbang pingat emas, termasuk menerusi acara yang mungkin tidak dijangka mampu menghasilkan kemenangan.

“Saya berharap setiap sukan dapat mengeluarkan emas, termasuk sukan yang mungkin kita tidak sangkakan. Saya suka kejutan. Berikan kami pingat emas walaupun kita tidak menjangkakan anda mampu mendapatkannya,” jelasnya.

Menurutnya lagi, cabaran mempertahankan kejuaraan kali ini lebih besar kerana Sarawak perlu membuktikan kemampuan menjadi juara di gelanggang lawan selepas muncul juara keseluruhan ketika menjadi tuan rumah SUKMA XXI di Sarawak dua tahun lalu.

Katanya, kejayaan di laman sendiri sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran kerana atlet Sarawak ketika itu mendapat sokongan padu rakyat negeri selain beraksi di kemudahan sukan yang sudah biasa digunakan.

“Kali ini kita berada di gelanggang baharu. Ini cabaran sebenar yang perlu kita buktikan, iaitu apabila berada di Selangor, kita masih mampu menjadi juara.

“Tidak ada nombor dua dan tidak ada nombor tiga. Kita hanya mahu nombor satu,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU