SELANGOR: Penerjun sensasi, Dayang Nusharzyra Awang Nasaruddin dan Nur Elisha Rania Muhamad Arbar Raj berjaya menambah pingat emas buat Kontinjen Sarawak di Pusat Akuatik Selangor sebentar tadi.
Gandingan yang begitu digeruni berikutan kredibiliti mereka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026 memuktamadkan pingat terbabit selepas cemerlang menamatkan lima terjunan acara papan anjal 3 meter wanita dengan mengumpul 221.01 mata.
Mereka mengatasi pesaing terdekat dari Wilayah Persekutuan, Lee Yiat Qing dan Teng Hui Xue yang dibezakan hanya 3.45 mata dengan mengumpul mata keseluruhan 217.56 mata bagi membawa pulang pingat perak.
Pingat gangsa milik penerjun tuan rumah, Ayu Syuhaida Khairul dan Uzlifatil Jannah Ashraf dengan kutipan 209.01 mata.
Sementara itu, satu lagi pingat berjaya diraih menerusi acara papan anjal 3 meter lelaki oleh Elvis Priestly Clement yang berjaya mengumpul 397.30 mata.
Pingat perak juga milik Sarawak menerusi Jared Aiden Anak Harold dengan 396.20 mata.
Sementara itu, Anilrian Normatr Muhammad dari Sabah memenangi pingat gangsa dengan 340.65 mata.



