SELANGOR: Hasrat skuad bola sepak Sarawak mara ke suku akhir tidak kesampaian meskipun menewaskan Terengganu 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium UKM, petang tadi.
Kemenangan itu belum memadai untuk memastikan Sarawak layak ke kelompok lapan terbaik apabila Terengganu turut memiliki kelebihan jaringan.
Keputusan itu menyaksikan Sarawak antara pasukan terawal tersingkir daripada saingan.
Pada perlawanan itu, anak buah Firdaus Morshidi ketinggalan 0-1 selepas Muhammad Syahir Shukri meletakkan Terengganu di depan pada minit ke-13.
Sarawak bangkit mendahului 2-1 menerusi jaringan Muhammad Amran Shah Mohd Anuar pada minit ke-20 dan Muhammad Amirul Hafiz Khairul Azuar pada minit ke-27.
Terengganu kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-55 menerusi Muhammad Haziq Zamri sebelum Muhammad Amran Shah menjaringkan gol kemenangan Sarawak lima minit kemudian.
Sarawak terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mirza Arif Ewan Saufi dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan selepas menerima kad kuning kedua.
Meskipun kekurangan seorang pemain, Sarawak terus melancarkan serangan bagi memburu gol keempat yang diperlukan untuk melayakkan diri ke suku akhir.
Namun, kegagalan menyudahkan peluang menyaksikan keputusan 3-2 kekal hingga wisel penamat.
“Terima kasih kepada semua pemain kerana berjaya memperoleh kemenangan pada perlawanan ini, meskipun kami gagal layak ke suku akhir.
“Saya kagum dengan semangat juang yang ditunjukkan pemain sepanjang perlawanan. Mereka telah memberikan aksi terbaik,” ujar Firdaus kepada Arena Suara Sarawak.



