MUKAH: Skuad bola sepak lelaki SUKMA Sarawak tewas tipis 1-0 dalam aksi pembuka tirai Kumpulan D menentang Perak.
Perlawanan tersebut telah disaksikan oleh lebih 5,000 penonton di Padang Mesra MDDM petang tadi.
Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil muncul wira Perak apabila dia menjaringkan gol tunggal menerusi sepakan penalti yang mudah disempurnakannya pada minit ke-37.
Aksi seimbang diperagakan pemain kedua-dua pasukan sepanjang perlawanan.

Malah, anak-anak buah Awangku Shahbudin Pengeran Abu Bakar sebenarnya boleh berkongsi mata andai kata deretan peluang yang diperoleh berjaya diterjemah kepada jaringan.
“Kita gagal untuk menjaringkan gol dengan beberapa peluang dimiliki sepanjang perlawanan.
“Saya percaya jika kami berjaya menjaringkan gol, mungkin keputusan sebaliknya berlaku,” ujar Awangku Shahbudin ketika ditemui selesai perlawanan.
Beliau turut memuji semangat juang dipamer kesemua pemainnya pada perlawanan tersebut.
Katanya, berdepan pasukan lawan (Perak) dibarisi pemain berpengalaman yang pernah beraksi di pentas Liga Piala Presiden 2024, barisan kesebelasan utama yang dipertaruhkannya pada perlawanan hari ini tampak berjaya memberikan tekanan.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, Wilayah Persekutuan berjaya beroleh tiga mata berharga selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pahang pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Mukah.



