KUALA LUMPUR: Acara sepak takraw regu berpasukan wanita pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 diteruskan mengikut jadual.
Perkara tersebut diputuskan sebulat suara oleh semua kontinjen yang bertanding dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia Bil 11/2024 yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Khamis.
Keputusan tersebut mengekalkan jumlah 488 acara dipertandingkan pada SUKMA kali ini yang diadakan dari 17 hingga 24 Ogos depan di sembilan Bahagian di Sarwak.
Sebelum ini, wujud spekulasi acara tersebut mungkin digugurkan kerana tidak memenuhi syarat penyertaan minimum enam kontinjen selepas hanya lima negeri mengesahkan penyertaan iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Hannah Yeoh dalam ucapannya menyambut baik persetujuan semua kontinjen yang bertanding agar acara sepak takraw wanita diteruskan demi pembangunan atlet wanita.
Katanya, tidak adil bagi atlet yang berlatih dengan gigih, namun digugurkan pada saat akhir hanya kerana tidak cukup penyertaan.
“Kebanyakan acara wanita digugurkan kerana tidak cukup sokongan.
“Kalau tidak cukup sokongan, bagaimana kita hendak melahirkan atlet negara walhal mereka mungkin berpotensi menyumbang pingat emas,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah turut menarik nafas lega selepas acara sepak takraw wanita dikekalkan.
Katanya, Kerajaan Sarawak bersedia sepenuhnya dari segi persiapan untuk menganjurkan SUKMA kali ini.
Terdahulu, Datu Hii membentangkan persiapan terkini Kerajaan Sarawak menganjurkan temasya berkenaan.

