KUCHING: Seramai 11 petinju handalan menjadi taruhan pasukan Zon Tengah (Sibu, Mukah, Kapit) pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026.
Ia melibatkan lapan petinju lelaki dan tiga wanita.
Pengurus Pasukan Tinju Zon Tengah, Zurkarnain Jemat memberitahu, petinju terbabit masing-masing berasal dari Sibu dan Kanowit.
“Kita mempertaruhkan 11 petinju muda pada temasya kali ini, kesemua mereka datang dari Sibu dan Kanowit,” ujar Zurkarnain kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau akui, tugasan mencabar menanti mereka sepanjang kejohanan berlangsung kelak mengambil kira tiga pasukan (Zon Utara, Zon Barat dan Zon Selatan) yang dijangka menampilkan petinju berbakat.
Apa-apa pun kata Zurkarnain, pihaknya melihat perkara itu pada sudut positif dan yakin kem kendalian Kennedy Edwin Ganai mampu memberi tentangan kepada setiap lawan mereka nanti.
Beliau menyatakan, persiapan petinju sedia ada berjalan lancar mengikut jadual.
“Ketika ini sesi latihan petinju dijalankan secara berasingan di dua kawasan terbabit (Sibu dan Kanowit).
“Sesi latihan pusat akan bermula pada 29 Januari ini sehingga hari pertandingan,” tambah Zurkarnain.


