KUCHING: Kawasan Sungai Apong di sini perlu dibangunkan secara menyeluruh bagi memastikan penduduknya tidak terus ketinggalan dalam menikmati kemudahan asas, tahap keselamatan serta kualiti hidup yang sewajarnya.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng berkata, Sungai Apong telah berdepan cabaran pembangunan sejak hampir dua dekad lalu berikutan kekangan struktur politik yang menjejaskan akses kepada sumber serta peruntukan pembangunan.

Menurutnya, keadaan itu bukan berpunca daripada kelemahan penduduk setempat dan mereka tidak seharusnya menanggung kesan akibat kelewatan pembangunan yang berpanjangan.
“Pembangunan komuniti tidak wajar terhenti disebabkan faktor politik. Keperluan asas seperti infrastruktur, keselamatan dan persekitaran hidup yang selamat tidak sepatutnya ditangguhkan,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun Dewa Sembilan Maharaja di Sungai Apong, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kepadatan penduduk yang tinggi, isu keselamatan kebakaran serta pengurusan risiko awam di Sungai Apong memerlukan pendekatan menyeluruh dan bersepadu, bukannya penyelesaian bersifat sementara atau terasing.
“Isu tanah mungkin rumit, namun keselamatan dan nyawa penduduk tidak boleh dikompromi. Keselamatan awam juga tidak seharusnya dipolitikkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk Sungai Apong agar terus bersatu dan bekerjasama secara konstruktif dengan Kerajaan Sarawak serta pihak berkuasa tempatan dalam kerangka dasar sedia ada bagi membolehkan sokongan yang lebih stabil dan bersifat jangka panjang disalurkan.
Menurutnya, hanya melalui kesepaduan komuniti dan kerjasama berinstitusi, pembaharuan sistematik serta penambahbaikan menyeluruh dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Pertubuhan keagamaan dan badan komuniti di Sungai Apong juga perlu melengkapkan pendaftaran rasmi bagi memudahkan penyaluran bantuan, peruntukan serta pelaksanaan program kebajikan secara lebih tersusun dan berterusan,” jelasnya.



