SIBU: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong, Kaunselor Wong Ching Yong, menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggunakan kuasa undang-undang bagi mengecualikan semua universiti awam dan swasta daripada cukai pendapatan.
Sebagai syarat pengecualiannya, beliau mencadangkan agar universiti swasta berorientasikan keuntungan mengurangkan yuran pengajian sebanyak 30 peratus.

Menurut Ching Yong, langkah ini dapat membantu meringankan beban pelajar dengan yuran yang lebih rendah.
Ini juga selari dengan pengumuman Kerajaan GPS tentang pendidikan percuma bermula 2026.
“Selaras dengan Seksyen 127(3A) dan 44(6B) Akta Cukai Pendapatan, ia boleh digunakan bagi mengecualikan semua universiti awam dan swasta daripada cukai pendapatan.
“Akta 127 (3A) ini memberi kuasa kepada menteri untuk mengecualikan mana-mana individu atau organisasi daripada peruntukan Akta Cukai Pendapatan, termasuk universiti awam dan swasta.
“Seksyen 44(6B) membenarkan institusi pendidikan, termasuk universiti awam, untuk merayu kepada menteri jika mereka tidak berpuas hati dengan keputusan Ketua Pengarah berhubung permohonan pengecualian cukai,” ujar Wong.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mengadakan kaunter perkhidmatan bergerak cawangan parti itu di sini semalam.
Rayuan ini dibuat, tegasnya, untuk memberi manfaat besar kepada pelajar dengan mengurangkan kos pendidikan tinggi di Malaysia.
Menurut Ching Yong, pengecualian cukai untuk universiti bukan hanya soal kewangan semata-mata, tetapi juga bagi memastikan lebih ramai pelajar dapat mengakses pendidikan berkualiti tanpa beban kewangan berlebihan.
Dengan langkah ini, beliau yakin pendidikan tinggi di Malaysia dapat berkembang dengan lebih baik dan lebih inklusi bagi semua lapisan masyarakat.
Berkenaan isu Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang sebelum ini dikecualikan daripada cukai, Ching Yong berharap ia akan terus menikmati pengecualian cukai.
Beliau menggesa kepada pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), termasuk Ahli Parlimen (MP) Sibu, Oscar Ling Chai Yew, dan MP Lanang, Alice Lau Kiong Yieng, untuk memperjuangkan pengecualian ini.
Selain itu, Ching Yong turut menyuarakan kebimbangan tentang keputusan untuk memisahkan Yayasan Pendidikan UTAR (UTAREF) daripada UTAR, yang menurutnya akan menimbulkan masalah bagi pengurusan universiti swasta itu.


