ARTIKEL

Dr. Sim dan semua ahli yang hadir dalam Majlis Ulang Tahun ke-66 SUPP

SUPP komited perjuang hak MA63

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak hari ini menegaskan pendiriannya bahawa negeri ini tidak lagi rela berada di belakang berbanding negeri-negeri lain di Malaysia – sama ada dari segi pembangunan infrastruktur, akses kepada perkhidmatan asas mahupun keupayaan ekonomi dan kemajuan sosial.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, kini masanya untuk Sarawak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah setelah sekian lama berdepan ketidaksamarataan dalam pembahagian sumber dan pembangunan sejak pembentukan Malaysia.

“Kita tidak mahu lagi jadi nombor terakhir. Dulu orang pandang rendah pada Sarawak. Tapi hari ini, seluruh Malaysia mula menaruh harapan kepada Sarawak.

“Kita kena pastikan hak kita terus dijaga — walaupun nombor pada kad pengenalan kita adalah 13, kita tidak mahu jadi yang terakhir di Malaysia,” katanya semasa berucap pada Majlis Mengibarkan Bendera sempena ulang tahun ke-66 SUPP di Ibu Pejabat SUPP di sini, pagi tadi.

Jelasnya, Sarawak berhak mendapatkan fasiliti dan pembangunan yang sama seperti negeri-negeri lain dalam Malaysia agar jurang pembangunan dapat dirapatkan demi keadilan dan kesejahteraan rakyat Sarawak.

“Sarawak, walaupun sering di belakang, kita kena tengok realiti. 70 peratus hospital dan klinik kita berada dalam keadaan daif dan kita perlukan RM17 bilion hanya untuk baik pulih bahagian ini sahaja.

“Kalau nak baiki sekolah-sekolah daif, kita perlukan lagi RM5 bilion. Saya yakin, di Semenanjung Malaysia, tak sampai 70 peratus klinik dan hospital dalam keadaan daif. Tapi di Sarawak, itulah kenyataannya. Sebab itu kita perlukan lebih banyak dana. Kita terpaksa bantu kerajaan Persekutuan supaya kita tidak lagi jadi yang terakhir,” ujarnya.

Menurut Dr. Sim, Sarawak kini berada pada landasan yang tepat menuju ke arah kemakmuran, keterangkuman dan kelestarian sebagaimana digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Transformasi besar-besaran ini tidak akan berlaku tanpa kestabilan politik dan penyertaan aktif semua rakyat.

“Untuk kekal stabil dan terus maju, kita perlukan lebih ramai bakat tempatan tampil ke hadapan. Kalau kita tidak bersatu atau mula berpolitik melampau seperti di tempat lain, Sarawak boleh tergelincir. Itu yang kita kena elak,” ujarnya.

Beliau turut menyeru generasi muda agar lebih proaktif memainkan peranan mereka sebagai pemangkin pembangunan negeri dengan menyumbang melalui bidang masing-masing termasuk teknologi, keusahawanan, pendidikan serta perkhidmatan awam.

“Anak-anak muda Sarawak perlu diberi peluang dan kepercayaan untuk membawa idea-idea segar.

“Kita mahu mencipta masa depan yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga mampan dari segi sosial dan alam sekitar. Justeru, pelaburan dalam modal insan adalah keutamaan kita,” ujar beliau.

Dr. Sim turut menegaskan bahawa SUPP, sebagai salah satu parti komponen utama dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), akan terus komited memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak, selaras dengan aspirasi yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita mesti terus bersuara lantang dalam mempertahankan hak-hak Sarawak. Ini bukan soal politik semata-mata, ini soal masa depan negeri kita. Kita tidak boleh leka atau terlalu bergantung kepada pusat. Sarawak mesti terus berdikari dan memperkukuh pentadbirannya sendiri.

“Hak kita dalam pendidikan, kesihatan, cukai hasil bumi – semua ini mesti dikembalikan sepenuhnya. Kita bukan negeri kelas kedua. Kita adalah rakan pengasas Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyeru semua lapisan masyarakat untuk terus menyokong usaha kerajaan negeri dan menjaga keharmonian yang menjadi tunjang kestabilan Sarawak selama ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU