ARTIKEL

Tertuduh dibawa ke bilik tahanan sementara mahkamah sebelum membayar denda.

Suri rumah didenda RM2,500 kerana judi dalam talian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang suri rumah didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah berjudi dalam talian menggunakan telefon pintar di sebuah kedai makan, Isnin lalu.

Ibu kepada enam anak, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nuriena Syafika Mohd Najib.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 7(2) Akta Judi Rumah Terbuka 1953, kerana terlibat dalam aktiviti judi secara terbuka di tempat awam.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan di Jalan Wan Alwi, sekitar jam 2.50 petang, 26 Oktober lalu.

Nuriena memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal melangsaikan denda.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, sempena Ops Dadu, pengadu merupakan pegawai polis mengetuai pasukannya membuat satu serbuan di sebuah kedai makan kerana dipercayai terdapat aktiviti judi atas talian.

Semasa serbuan, seorang wanita yang sedang bermain judi atas talian telah ditahan.

Barang-barang milik tertuduh turut dirampas seperti seunit telefon pintar dan kertas bertulis nombor pengenalan perjudian.

Hasil siasatan laporan pakar judi mendapati telefon pintar milik tertuduh digunakan untuk judi atas talian.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan berjudi atas talian di tempat awam dengan menggunakan sebuah telefon pintar.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

RUAI

SUKAN