MANUSIA mempunyai sifat semula jadi iaitu minat atau suka terhadap seseorang. Biasanya, manusia mencari sosok individu yang boleh dijadikan ikutan seperti seseorang yang mempunyai pengaruh yang besar atau mashyur dalam dunia hiburan ataupun sukan.
Lalu ada yang mengikut serta menjadikan individu tersebut sebagai contoh dalam kehidupannya, sama ada dari segi gaya hidup, pertuturan atau pemakaiannya.
Bersempena Maulidur Rasul — bulan lahirnya Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat kepada sekalian alam, manusia yang dicipta oleh Allah SWT bagi umatnya untuk dijadikan contoh ikutan dan bagi mereka yang menginginkan kebaikan terhadap dirinya.
Dan itulah bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW yang merupakan tokoh terunggul serta kekasih Allah SWT. Allah SWT berfi rman dalam kalamnya yang berbunyi: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak.” (maksud al-Ahzab: 21)
SIKAP ADIL, JUJUR
Antara keunggulan akhlak Baginda SAW adalah sentiasa adil terhadap Allah SWT, terhadap dirinya, kemudian terhadap seluruh makhluk tidak kira ia Islam atau bukan Islam.
Perkara ini sememangnya tercatat dalam kitab sirah tatkala Baginda SAW bermuamalat dengan mereka bukan Islam.
Sabda Rasulullah SAW: “Wahai Abdullah Amru! Aku dimaklumkan bahawa engkau berpuasa pada siang hari dan mendirikan solat (qiyam) pada waktu malam (tanpa berhenti).
Janganlah begitu! Sesungguhnya tubuh badanmu ada hak ke atas kamu.
Matamu juga ada hak ke atas kamu.
Isterimu juga ada hak ke atas kamu.” (maksud hadis riwayat Muslim) Kemudian sifat jujur Baginda SAW juga salah satu kelebihan sewajarnya kita jadikan ikutan.
Kejujuran Baginda SAW di kota Makkah sehingga masyhur dalam kalangan penduduk kota Makkah dan memberi gelaran al-Amin — seorang yang amanah.
Bahkan ketika Rasulullah SAW hendak berhijrah ke Kota Madinah, Baginda SAW berpesan kepada Saidina Ali untuk mengagihkan semula harta penduduk Kota Makkah yang diamanahkan kepada beliau untuk disimpankan.
Walaupun penduduk Kota Makkah membencikan Baginda SAW, namun mereka tidak dapat menafi kan kejujuran dan amanahnya Baginda SAW serta umpama tempat menyimpan harta yang selamat pada pandangan mereka.
KEBIJAKSANAAN
Salah satu sudut yang diperakui dan diiktiraf oleh pelbagai cendekiawan tentang kebijaksaaannya adalah dari sudut pentadbiran, politik, pengurusan serta ketua peperangan.
Kesemua ini mampu dikuasai dengan baik dan cemerlang.
Nama Baginda SAW tercatat sebagai tokoh yang paling berpengaruh di dunia oleh Michael H Hart dalam bukunya The 100: A Ranking of The Most Infl uential Persons In History.
Salah satu contoh kebijaksanaan adalah tatkala Baginda SAW dan para sahabat menghadapi peperangan Khandaq.
Baginda SAW memberi buah pikiran bagi menghadapi musuh iaitu dengan menggali parit yang besar bagi menghadapi musuh dan strategi tersebut berjaya.
Sabda Baginda SAW: “Tiada seorang pun pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, lantas tidak berusaha bersungguhsungguh untuk kebaikan mereka dan tidak jujur kepada mereka, melainkan dia tidak akan masuk syurga bersama-sama mereka.” (maksud hadis riwayat Bukhari)



