JAKARTA: Polis Indonesia telah menamakan pegawai kanan keempat sebagai suspek dalam dakwaan pengintipan talian telefon terhadap Presiden Prabowo Subianto, ketika pihak berkuasa terus menyiasat motif di sebalik skandal yang telah mendedahkan keretakan semakin mendalam antara presiden itu dan pendahulunya, Joko Widodo, memetik Reuters seperti yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today.
Kes berkenaan telah memberi lebih banyak tekanan kepada Prabowo, di samping ketidakpuasan hati awam yang semakin meningkat terhadap dasar popularisnya yang memakan belanja yang besar serta keyakinan pelabur yang semakin merosot terhadap ekonomi AS$1.5 trilion Indonesia.
Pada satu sidang media lewat Khamis, polis menamakan seorang pegawai kanan penguatkuasa undang-undang bernisial SU sebagai suspek baharu, dan menyatakan bahawa beliau pernah berkhidmat sebagai ketua pemantauan di Agensi Siasatan Jenayah Indonesia antara tahun 2010 dan 2019. Media tempatan kemudiannya mengenalpasti beliau sebagai Slagmet Uliandi (SU).
Para penyiasat mendakwa bahawa SU, yang merupakan ketua unit maklumat dan teknologi badan penyiasatan itu dari tahun 2021 hingga 2026, telah memberi kelulusan untuk pengintipan berkenaan, kata pengarah unit jenayah siber, Suhermanto, pada sidang media tersebut.
“Apabila dua lagi suspek berhasrat untuk melakukan pengintipan, mereka mendapat kelulusan daripada SU. Mereka juga meminta kelulusannya sebelum memadamkan rekod pintasan,” kata Suhermanto, sambil menambah bahawa SU belum ditahan lagi atas faktor kesihatan.
Tiga pegawai kanan polis telah pun ditangkap pada Selasa, termasuk bekas ketua polis negara yang juga ketua staf Prabowo, Listyo Sigit Prabowo, yang dikenali ramai sebagai penyokong setia Widodo.
Polis masih menyiasat motif di sebalik percubaan memintas komunikasi Prabowo dan sejauh ini telah menyoal siasat 13 pegawai polis serta lima pakar jenayah dan teknologi maklumat (IT).
Ketua polis negara juga telah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes tersebut, kata jurucakap Trunoyudo Wisnu Andiko.
Jakarta kekal tenang pada hari Khamis dan Jumaat berikutan penempatan ribuan anggota tentera susulan pendedahan pengintipan itu. Kem-kem tentera dan bas kelihatan di ibu negara, begitu juga dengan sebilangan kecil anggota tentera.
Ahli parlimen juga sedang mempertimbangkan siasatan ke atas kelayakan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, anak Widodo, yang mungkin menjadi langkah pertama untuk melucutkan jawatan beliau. – AFP






