Suspek utama pecah kereta taman riadah dicekup, pembeli barang curi turut ditahan

KUCHING: Seorang lelaki disyaki dalang utama kes pecah kereta di sekitar kawasan riadah Kuching akhirnya diberkas polis di tempat letak kenderaan Pustaka Negeri, pada Sabtu.

Suspek, 40, dicekup ketika cuba memecah sebuah kenderaan di lokasi terbabit sekitar jam 7.30 pagi oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Kuching yang sedang melakukan intipan terhadap aktiviti itu semenjak beberapa bulan yang lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata suspek mengaku terlibat dalam hampir 20 kes pecah kereta serta curi di sekitar Kuching dan kesemua kes telah dikenal pasti hasil laporan diterima pihak polis sebelum ini.

“Modus operandi suspek adalah dengan bergerak secara ‘solo’ menggunakan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza miliknya untuk membuat pemerhatian ke atas kenderaan mangsa terlebih dahulu seawal jam 6 pagi.

“Apabila pemilik kenderaan mula beredar untuk bersenam (jogging), suspek akan memecahkan cermin kereta mangsa dengan menggunakan pemutar skru mata philips yang diubah suai kerana tidak menimbulkan bunyi kuat sebelum mengambil barang berharga di dalam kenderaan terbabit,” katanya hari ini.

RAMPAS…Barangan curi berupa laptop hasil tangkapan suspek kedua kes pecah kereta di kawasan riadah Kuching

Tambahnya kawasan sasaran utama jenayah itu termasuk di Pustaka Negeri, Saradise BDC,Taman Sahabat, Taman Rekreasi MBKS dan Reservior Park Kuching serta lokasi kenderaan yang diletakkan tanpa sebarang pengawasan Kamera Litar Tertutup (CCTV).

Sementara itu seorang lelaki berusia lingkungan 40 tahun, disyaki pembeli barangan yang dicuri oleh suspek utama turut ditahan pada hari sama di sebuah rumah di Batu Kawa sekitar jam 3 petang.

Dedah Awang Din suspek kedua turut mengaku pernah membeli barangan curi daripada suspek seperti laptop, telefon dan barang-barang kecil yang lain hasil soal siasat dijalankan.

Semakan ke atas rekod jenayah katanya mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah harta benda.

Susulan itu katanya permohonan reman ke atas kedua-dua suspek telah diluluskan oleh Mahkamah Majistret Kuching selama empat hari sehingga 11 Februari 2021 untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan bagi kesalahan kali kedua, hendaklah juga dikenakan denda atau sebat.

“Manakala individu yang membeli barangan curi juga akan turut disiasat di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang mana memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh tujuh tahun, atau denda atau dengan kedua-duanya,” tegas beliau.

Tegasnya siasatan lanjut akan diteruskan sehingga semua suspek yang terlibat terutamanya pembeli barangan curi berjaya ditahan dan didakwa di Mahkamah.

Beliau turut menyeru kepada orang awam yang pernah menjadi mangsa untuk tampil ke Balai Polis berdekatan atau berhubung dengan ASP Baharuddin di talian 0135654600 atau Sjn Suffiani (013 313 5262) bagi memberikan maklumat lanjut dan sekaligus bagi membuat pengecaman barang-barang yang berjaya dirampas daripada suspek.