KUCHING: Hilang kawalan sebelum merempuh motosikal menjadi punca seorang pengawal keselamatan maut dalam kemalangan di P-Turn Jalan Batu Kawa-Bau, berhampiran Taman Perumahan Vision Height 3, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Pemangku Superintenden Barry William, berkata kejadian berlaku kira-kira 10.10 pagi dan mangsa, 56, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Menurutnya, sebelum kejadian, SUV jenis Perodua Aruz dipandu lelaki berusia 63 tahun bersama-sama seorang penumpang dalam perjalanan dari arah Batu Kawa menghala ke Lundu.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu SUV dipercayai hilang kawalan ketika bergerak di lorong tengah sebelum melanggar bahagian belakang motosikal yang ditunggang mangsa di lorong susur ke P-Turn.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas pembahagi jalan, manakala kedua-dua kenderaan terus bergerak sebelum melanggar penghadang jalan di pembahagi tengah dan terbabas ke laluan bertentangan,” katanya.
Barry berkata, mangsa mengalami kecederaan parah pada kedua-dua kaki dan muka sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 11.26 pagi oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak.

Katanya, pemandu SUV dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata, kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah.
Katanya, kawalan lalu lintas dilakukan dengan bantuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.



