KUCHING: Sarawak berpotensi menjadi tumpuan rawatan kanser bagi kawasan kepulauan Borneo sekiranya pembinaan Pusat Kanser Sarawak dapat direalisasikan pada masa hadapan. Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, cadangan pembinaan pusat kanser terbabit amat baik dan membawa banyak manfaat serta kepentingan dalam sektor kesihatan negeri ini.
“Hari ini saya sudah mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk berbincang mengenai perkara tersebut. “Kita akan melihat secara terperinci dan memastikan model terbaik untuk kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Persekutun dalam usaha merealisasikan pembinaan pusat itu.
“Ini kerana kita tahu bahawa pusat itu mempunyai banyak kepentingan, ia bukan sahaja menjimatkan kos rawatan pesakit kanser tanpa perlu pergi ke Semenanjung, bahkan boleh dijadikan pusat kanser borneo dengan membantu pesakit- pesakit dari negeri dan negara jiran seperti Indonesia serta Brunei,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Dialog Awam Kertas Putih Kesihatan Peringkat Zon Sarawak di Hospital Umum Sarawak, di sini, semalam. “Justeru, selepas ini kita akan melihat formula sesuai dan bagaimana untuk meneruskan usaha mendirikan Pusat Kanser Sarawak itu,” jelasnya.
Terdahulu, Dr Zaliha mengadakan kunjungan hormat ke Abang Johari dengan mereka berkongsi pandangan berkaitan perincian pembinaan pusat kanser itu. Selain membincangkan usaha untuk menambah baik dan meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negeri ini.
Sebelum ini, Abang Johari dilaporkan berkata Kerajaan Sarawak bersedia membina pusat kanser menjelang akhir tahun ini jika kerajaan pusat bersetuju dengan cadangan itu. Antara cadangannya adalah adalah Kerajaan Sarawak menubuhkan pusat itu melalui penyediaaan peruntukan pembangunan fizikal, manakala kemudahan perubatan serta tenaga kerja di bawah Persekutuan.



