BELANJAWAN Sarawak 2027 menyaksikan lima matlamat dan sembilan teras, sebagai inti pati yang dirangka untuk memacu negeri ini ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, mampan dan inklusif menjelang 2030.
Antara matlamat utama ialah memastikan kekayaan dikongsi secara meluas, meningkatkan pendapatan isi rumah, serta melonjakkan produktiviti bernilai tambah tinggi.
Manakala sembilan teras strategik akan mempercepat transformasi ekonomi dengan memajukan industri dan mempelbagaikan ekonomi melangkaui sektor tradisional.
Ia akan membuka peluang pertumbuhan baharu dalam bidang teknologi digital, tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan termaju, di samping menggalakkan pelaburan swasta melalui inovasi dan kerjasama strategik.
Usaha ini akan memperluas peluang pekerjaan, memperkukuh modal insan serta membangunkan tenaga kerja berdaya saing. Langkah tersebut akan membantu menjamin kemakmuran jangka panjang dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Secara keseluruhan Belanjawan Sarawak 2027 ialah RM14.845 bilion, merangkumi RM5.747 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM9.098 bilion untuk Akaun Kumpulan Wang Pembangunan.
Belanjawan 2027 dijangka mencatat lebih RM246 juta.
Realitinya, tahun 2026 Sarawak berada pada fasa pemuncak pelan transformasi fizikal dan ekonomi agresif di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030).
Cabaran geografi dan kesalinghubungan di negeri ini cukup besar, sebesar saiz wilayah Bumi Kenyalang.
Namun melalui komitmen kewangan kukuh Kerajaan Sarawak yang diterajui Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pelbagai projek mega dan pembangunan infrastruktur berskala besar telah siap sepenuhnya.
Ada yang dalam pelaksanaan, dan perancangan.
Berdasarkan laporan pencapaian infrastruktur semasa 2026, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sahaja mencatat rekod kejayaan luar biasa dengan menyiapkan 11,902 projek bernilai RM27.6 bilion, merangkumi kadar penyempurnaan, 78 peratus.
Sejak hampir sedekad kebelakangan ini, Sarawak bergerak pantas, meneroka segala peluang serta memanfaatkan sumber asli negeri, sebagai teras utama.
Sejak siapnya Lebuh Raya Pan Borneo tanpa tol sepanjang 786 kilometer, dari Telok Melano ke Miri, telah memberikan impak langsung terhadap sosioekonomi rakyat.
Lebuh raya empat lorong berkembang mengubah landskap mobiliti Sarawak secara drastik.
Perjalanan dari Kuching ke Miri yang dahulunya sekitar lebih 18 jam, kini hanya 10 hingga 12 jam, dengan pemanduan lebih selesa dan selamat.
Lebuh raya ini telah mencetuskan rantaian ekonomi baharu di kawasan separa bandar, luar bandar yang dilalui, sekitar beberapa bahagian di negeri ini, seperti Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Bintulu.
Ia turut membuka peluang perniagaan setesen minyak, hab logistik dan inap desa. Malah ia turut membuka peluang ekonomi penduduk setempat, yang menjual hasil tani terutama ketika musim buah-buahan.
Bagi melengkapkan Lebuh Raya Pan Borneo, Kerajaan Sarawak turut membiayai projek jambatan dan jalan raya pesisir di Sarawak dan Jalan Utama Kedua.
Ia adalah untuk menghubungkan komuniti nelayan dan pertanian sepanjang pesisir pantai terus ke koridor pembangunan utama.
Malah Kerajaan Sarawak juga membina 12 jambatan mega, yang menelan belanja sekitar RM6.4 bilion hingga RM6.92 bilion.
Jambatan Batang Lupar 1 yang bernilai RM848 juta kini siap sepenuhnya. Sepanjang 4.8 kilometer jambatan ini menghubungkan Sebuyau dan Maludam, sebagai jambatan merentas sungai terpanjang di Malaysia.
Jambatan lain ialah Jambatan Marudi, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Tun Taib Mahmud (Jepak), Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang (Batang Rajang), Jambatan Batang Saribas 1 (Betong), Jambatan Datuk Amar Juma ani (Bintangor), Jambatan Sebauh (Bintulu), Jambatan Lingga (Sri Aman), Jambatan Sejingkat dan Jambatan Igan (Mukah).
Pembukaan Jambatan Batang Saribas, Batang Rajang dan Batang Igan mem bolehkan rantaian logistik barangan pertanian dan hasil laut dari wilayah tengah, seperti Mukah dan Tanjung Manis dihantar ke Pelabuhan utama dalam masa beberapa jam sahaja tanpa perlu menunggu giliran feri yang sangat memakan masa.
Sebagai sebahagian daripada rancangan peluasan pembangunan wilayah, kawasan Gedong dan Simunjan mengalami transformasi drastik menerusi pelaksanaan tiga projek jalan utama bernilai RM2.8 bilion yang disiapkan secara berfasa.
Projek mega penajaan penuh Kerajaan Sarawak ini melibatkan pembinaan Serian-Gedong-Samarahan Highway (lima pakej), naik taraf Jalan Gedong-Simunjan dan pembinaan Jalan Gedong-Semalating.
Jaringan jalan empat lorong baharu bukan sahaja membuka akses pasaran yang luas buat sektor agroteknologi tempatan, malah memposisikan Gedong sebagai hab satelit pendidikan dan penyelidikan baharu yang terhubung terus dengan pusat pertumbuhan Kota Samarahan.
Kejayaan fizikal Sarawak sepanjang 2026 ini disokong oleh desentralisasi agensi pembangunan wilayah. Setakat April 2026, sebanyak 228 projek pembangunan di bawah lima Agensi Pembangunan Wilayah (RDA) telah siap, di bawah peruntukan bajet pembangunan tahunan negeri.
Agensi seperti Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), dan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) berjaya menterjemahkan dana mega kepada pembinaan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, grid elektrik luar bandar, dan telekomunikasi di pedalaman Kapit, Belaga, Lawas, dan Limbang.
Sementara itu, bagi skala komuniti, sebanyak 802 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM112.85 juta berjaya disiapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sepanjang tahun 2026.
Projek-projek berimpak tinggi mikro ini merangkumi kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan konkrit, pembinaan dan pengindahan tebingan sungai, naik taraf pasar basah komuniti, serta pemasangan lampu jalan solar di kawasan luar bandar demi meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat secara inklusif.
Sarawak mengukuhkan kedudukannya sebagai Hab Tenaga Hijau Asia Tenggara menerusi perkembangan pembinaan Projek Hidroelektrik Baleh (HEP Baleh) di Kapit.
Projek empangan hidroelektrik mega berkapasiti 1,285 Megawatt (MW) telah mencapai fasa kemajuan fizikal yang sangat kritikal ke arah pengoperasian penuh. Pembinaan struktur konkrit utama empangan dan kerja-kerja mekanikal hulu sungai dilakukan secara lestari mengikut piawaian antarabangsa.
Projek ini bukan sahaja bertujuan membekalkan tenaga elektrik yang bersih kepada industri berat di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), malah menjadi asas kepada eksport tenaga boleh diperbaharui ke negara jiran seperti Kalimantan (Indonesia), Brunei, dan Singapura melalui grid dasar laut.
Kejayaan menyiapkan projek mega sepanjang 2026, daripada Lebuh Raya Pan Borneo, rangkaian jambatan pesisir, koridor jalan luar bandar Gedong, sehingga ratusan projek wilayah RDA dan RTP membuktikan Sarawak mempunyai kemampuan kewangan, kestabilan politik, dan kecekapan pelaksanaan.
Infrastruktur yang dibina sepanjang tahun ini bukan sahaja merapatkan jurang ekonomi antara bandar dengan luar bandar, malah meletakkan asas fizikal yang kukuh untuk Bumi Kenyalang muncul sebagai wilayah paling maju, makmur, dan berpendapatan tinggi di Malaysia menjelang 2030.




