ARTIKEL

Hasil Sarawak melonjak RM13.6 bilion, lebih dua kali ganda sejak 2016

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak merekodkan perubahan ketara dalam tempoh hampir sedekad apabila hasil negeri meningkat lebih dua kali ganda daripada RM5.9 bilion pada 2016 kepada jangkaan RM13.6 bilion tahun ini, manakala hasil 2027 diunjurkan mencecah rekod tertinggi RM15.1 bilion.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peningkatan keupayaan kewangan itu membolehkan kerajaan negeri menyalurkan lebih banyak sumber kepada pembangunan infrastruktur, pendidikan, kebajikan dan sektor ekonomi baharu.

“Apabila saya mengambil alih kepimpinan Sarawak pada Januari 2017, Sarawak berada pada tahap pembangunan yang berbeza.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita ketika itu RM124.5 bilion, 11.9 peratus isi rumah berada dalam kemiskinan mutlak dan pendapatan median isi rumah RM4,163 sebulan.

“Sejak itu, banyak perkara telah berubah di Sarawak,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, KDNK Sarawak meningkat kepada RM153.5 bilion pada 2025, manakala kadar kemiskinan mutlak menurun kepada 8.4 peratus.

“Pendapatan median isi rumah pula meningkat kepada RM5,504 sebulan, kira-kira satu pertiga lebih tinggi berbanding 2016.

“Malah, Sarawak turut diiktiraf Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi pada 2022 dan berjaya mengekalkan status tersebut.

“Sepuluh tahun cukup panjang untuk menunjukkan sama ada sesebuah kerajaan menunaikan komitmennya. Sarawak hari ini berada pada kedudukan yang sangat berbeza berbanding 2017,” ujarnya.

Beliau menambah, ekonomi Sarawak yang sebelum ini banyak bergantung kepada minyak dan gas, pertanian serta komoditi kini dipelbagaikan kepada aktiviti hiliran minyak dan gas, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pembuatan maju termasuk semikonduktor.

“Peningkatan hasil negeri ini turut membolehkan Sarawak membiayai sendiri projek berskala besar termasuk Rangkaian Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua bernilai kira-kira RM11 bilion.

“Kedua-dua program itu merangkumi 21 jambatan utama, 193 kilometer jalan baharu dan naik taraf 425 kilometer jalan sedia ada.

“Sementara itu, pada 30 Oktober nanti, kita akan mengadakan pelancaran awal Jambatan Batang Paloh. Kira-kira 12,000 penduduk Pulau Bruit tidak lagi perlu menunggu feri untuk pulang ke rumah,” katanya.

Rangkaian Jalan Pesisir dijangka siap pada 2027, manakala Jalan Utama Kedua pada 2030, dengan tambahan RM2.27 bilion diperuntukkan tahun depan bagi projek berkenaan serta jalan tulang belakang lain termasuk Lebuhraya Pesisir Utara.

Beliau berkata, Sarawak turut membangunkan jalan 3M2L sepanjang 142 kilometer bernilai RM3.8 bilion yang menghubungkan Miri, Marudi, Mulu, Long Panai dan Long Lama.

“Dalam aspek bekalan air, lebih 2,700 kilometer saluran paip sedang dinaik taraf dan diganti bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan serta mengurangkan kehilangan air tidak berhasil,” katanya.

Menurut beliau, pengukuhan kewangan negeri turut disertai pembinaan institusi strategik termasuk penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

“Sarawak kini juga menjadi pemegang saham tunggal terbesar AFFIN Bank, mengambil alih Pelabuhan Bintulu serta memiliki syarikat penerbangan AirBorneo.

“Pada masa sama, Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak diwujudkan bagi memastikan sebahagian hasil semasa dilaburkan untuk manfaat generasi akan datang,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, semua inisiatif ini mempunyai tujuan berbeza, tetapi secara keseluruhan ia memperluas institusi, aset dan mekanisme kewangan yang tersedia bagi menyokong pembangunan jangka panjang Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Sarawak sasar jadi pintu masuk utama ke Borneo

KUCHING: Sarawak berhasrat menjadi pintu masuk utama ke Borneo dengan memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan antara rantau itu dengan pasaran antarabangsa. Premier, Datuk