KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu terus memperkukuhkan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kerjasama pembangunan dipertingkatkan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk Sarawak dinaikkan daripada RM15.1 bilion pada tahun ini kepada RM16.2 bilion pada tahun 2027.
Katanya, ia merangkumi dana pembangunan dan perbelanjaan operasi kementerian serta agensi Persekutuan.
“Kami berharap agensi-agensi Persekutuan di Sarawak akan dapat mempercepatkan pelaksanaan program dan projek pembangunan berdasarkan peruntukan dan skop yang telah diluluskan.
“Ini adalah hasil daripada kerjasama kita, dan asas kepada kerjasama tersebut ialah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam penggulungan perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan Sarawak akan terus menuntut hak negeri yang masih tertunggak di bawah MA63, walaupun Kerajaan Persekutuan telah menaikkan Pemberian Khas daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagai langkah sementara, yang berkuat kuasa tahun ini.
Abang Johari berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf MA63 sebagai agenda nasional dan tanggungjawab seluruh negara, bukan sekadar perbincangan mengenai isu Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, pengiktirafan itu dinyatakan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Kota Kinabalu pada September lalu.
Malah, katanya, ketika membentangkan belanjawan pada 9 Oktober lalu, Anwar menyifatkan MA63 sebagai “Kovenan Nasional” (National Covenant) yang perlu dihormati seluruh negara.
Abang Johari berkata, kenaikan Pemberian Khas itu mencerminkan pengiktirafan terhadap keperluan Sabah dan Sarawak yang selama beberapa dekad tidak seiring dengan kadar pemberian berkenaan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas langkah itu, namun menegaskan rundingan bagi menetapkan formula pemberian tahunan yang adil dan mampan perlu diteruskan.
“Pentadbiran saya kekal komited untuk menuntut hak-hak Sarawak yang masih tertunggak di bawah MA63,” katanya.


