KUCHING: Program Sarawakku Sayang 2026 merekodkan lebih 540,000 pengunjung di lapan bahagian, selain menjana jualan RM2.4 juta kepada usahawan tempatan menerusi pelbagai aktiviti jualan makanan, kraftangan dan produk tempatan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, program itu dilaksanakan di Limbang, Miri, Bintulu, Kapit, Sibu, Sarikei, Betong dan Mukah dengan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta di bawah satu platform.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan rakyat mendapatkan perkhidmatan kesihatan, pendidikan, kebajikan dan digital secara terus, selain membuka ruang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan.
“Sambutan terhadap program itu mencerminkan semangat kebersamaan rakyat Sarawak yang terus berpegang kepada prinsip segulai sejalai.
“Dalam masa yang sama, program ini mencerminkan pendekatan pentadbiran yang tidak hanya menunggu rakyat mendapatkan perkhidmatan kerajaan, sebaliknya membawa sendiri perkhidmatan berkenaan lebih dekat kepada masyarakat,” katanya pada persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.
Katanya, interaksi secara langsung melalui program seumpama itu membolehkan hubungan antara kerajaan dan rakyat diperkukuh, selain membantu mengenal pasti masalah serta mempercepat penyampaian perkhidmatan.
“Inilah pendekatan pentadbiran kita. Bukan sekadar menunggu rakyat datang kepada kerajaan, tetapi kerajaan sendiri yang turun padang mendekati mereka demi mendengar denyut nadi dan memahami isi hati masyarakat,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, falsafah Sarawakku Sayang, Jaga Sarawak, Intu Sarawak turut mencerminkan nilai saling menghormati, mengambil berat dan menjaga sesama masyarakat.
Beliau turut menyeru rakyat supaya terus memelihara keamanan dan perpaduan negeri serta tidak membiarkan Sarawak dipecahbelahkan oleh unsur luar.
“Marilah kita terus teguh bersatu demi mempertahankan hak dan masa depan Sarawak serta menjayakan agenda Sarawak Maju Makmur.
“Sarawak milik kita bersama – inilah rumah kita tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. Demi anak-anak dan generasi akan datang, marilah kita terus melangkah bersama. Sarawak First, Utamakan Sarawak,” tegasnya.
Program Sarawakku Sayang 2026 dirancang dilaksanakan di 12 bahagian, merangkumi Limbang, Miri, Bintulu, Mukah, Sibu, Kapit, Sarikei, Betong, Sri Aman, Serian, Samarahan dan Kuching.
Ia diwujudkan sebagai platform sehenti yang membawa maklumat, perkhidmatan dan bantuan kerajaan terus kepada masyarakat, merangkumi saringan kesihatan, bantuan pendidikan, peluang keusahawanan, kebajikan serta perkhidmatan digital.
Program itu turut bertujuan meningkatkan kefahaman rakyat terhadap dasar dan inisiatif kerajaan, mengenal pasti keperluan akar umbi serta memastikan masyarakat termasuk di luar bandar dan pedalaman tidak tercicir daripada pembangunan.



