ARTIKEL

Uggah bercakap ketika menyampaikan ucapan penggulungan. (JAPEN)

Kendalian kargo pelabuhan Sarawak naik 12.5 peratus kepada 48.6 juta tan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kendalian kargo di pelabuhan Sarawak meningkat 12.5 peratus kepada 48.6 juta tan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, berbanding 43.21 juta tan pada tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata peningkatan itu mencerminkan perkembangan aktiviti perdagangan, perindustrian dan ekonomi negeri yang turut meningkatkan keperluan terhadap kapasiti serta kecekapan operasi pelabuhan.

“Trend peningkatan kendalian kargo ini merupakan petunjuk menggalakkan terhadap perkembangan aktiviti perdagangan, perindustrian dan ekonomi Sarawak.

“Ia mengukuhkan peranan penting pelabuhan sebagai pintu masuk kepada perdagangan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Menurutnya, beberapa projek penaiktarafan infrastruktur pelabuhan sedang dirancang bagi menampung peningkatan permintaan, termasuk peluasan Terminal Senari yang dijadualkan bermula pada 2027.

Projek itu merangkumi pemanjangan dermaga daripada 635 meter kepada 885 meter serta pembinaan kawasan kontena baharu berkapasiti 200,000 unit setara kontena 20 kaki (TEU).

“Pembangunan ini akan mengurangkan masa menunggu kapal, mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kecekapan pengendalian kargo.

“Ia juga akan meningkatkan kapasiti keseluruhan kontena terminal sebanyak 36 peratus kepada 750,000 TEU,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerja pengorekan dan kerja berkaitan di Delta Batang Baram, Miri mencatat kemajuan fizikal 89.53 peratus, manakala kerja utama disasarkan selesai menjelang Mac 2027.

Projek itu dijangka menyokong pembangunan hab perkhidmatan sokongan minyak dan gas yang disasarkan beroperasi pada pertengahan 2027, selain memudahkan aktiviti pembinaan kapal, pengendalian kargo berkontena, perkhidmatan kapal persiaran dan pembekalan bahan api kepada kapal bagi industri minyak sawit.

Sementara itu, Pelabuhan Bintulu secara rasmi beralih daripada bidang kuasa Persekutuan kepada Sarawak berkuat kuasa 1 September 2026, dengan tanggungjawab kawal selia kini dipikul oleh Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak).

Uggah berkata perkembangan itu mengukuhkan kuasa negeri dalam pentadbiran dan pembangunan pelabuhan, selaras dengan aspirasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pada 24 September 2026, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan pelaksanaan secara berperingkat Pihak Berkuasa Pelabuhan Sarawak, berkuat kuasa 1 November 2026, menerusi penguatkuasaan peruntukan berkaitan dalam Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan Sarawak 2024.

“Pendekatan berperingkat ini membolehkan kerangka pentadbiran, kawal selia dan operasi diwujudkan secara sistematik bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar dan teratur,” ujarnya.

Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM8 juta dalam Belanjawan Negeri 2027 bagi kajian Pelan Induk Pelabuhan Sarawak bagi menyusun pembangunan kelompok pelabuhan mengikut kelebihan geografi dan kekuatan industri masing-masing.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU