KUCHING: Kira-kira 19,851 penjawat awam Sarawak akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji dan akan dibayar sebelum akhir tahun ini, dengan perbelanjaan dianggarkan RM144 juta.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata: bayaran itu akan dikira berdasarkan gaji pokok terakhir November 2026 sebagai penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi anggota Perkhidmatan Awam Sarawak.
“Di sebalik setiap kejayaan yang kita kecapi, ada keringat penjawat awam yang mengalir tanpa mengira waktu, dengan dedikasi yang tidak pernah luntur, merentasi batas kota hingga ke sanubari luar bandar.
“Sebagai tanda penghargaan, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian BKK sebanyak dua bulan gaji kepada anggota Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya, sumbangan penjawat awam dapat dilihat dalam pelaksanaan pelbagai projek dan penyampaian kemudahan asas, termasuk jambatan, bekalan air bersih, elektrik serta pembangunan kawasan luar bandar.
“Aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 tidak akan dapat direalisasikan tanpa keupayaan perkhidmatan awam yang cekap, telus dan berintegriti.
“Kerajaan turut akan meneruskan usaha meningkatkan kebajikan penjawat awam termasuk membina dan menaik taraf pejabat serta kuarters kerajaan, khususnya untuk mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan BKK RM700 secara sekali beri kepada kira-kira 132,347 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak dengan anggaran perbelanjaan RM93 juta dan bayaran dijadualkan pada suku pertama 2027.
“Kita juga tidak melupakan sumbangan rakan-rakan Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak.
“Usaha gigih dan keikhlasan mereka menjadi tunjang kepada kejayaan program pembangunan yang inklusif dan mampan di Sarawak,” katanya.
Golongan pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, katanya, turut menerima bantuan kewangan RM500 secara sekali beri, yang dijangka memanfaatkan sekitar 10,141 penerima dengan perbelanjaan kira-kira RM5.1 juta.
Selain itu, beliau turut mengumumkan insentif RM700 secara sekali beri kepada pengamal media swasta yang berdaftar dengan enam persatuan media di Sarawak sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam menyampaikan maklumat dan berita kepada masyarakat.
“Penghargaan berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada penerima untuk terus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Memandangkan tempoh menuju 2030 semakin hampir, saya mahu setiap agensi bergerak lebih pantas dalam pelaksanaan projek dan penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, tuntutan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut memerlukan sokongan sebuah perkhidmatan awam yang berwibawa serta berkeupayaan mengurus pentadbiran negeri dengan cekap.
“Untuk membina Sarawak yang bertaraf dunia, kita memerlukan perkhidmatan awam yang juga bertaraf dunia. Kejayaan Sarawak hari ini adalah hasil titik peluh anda semua,” katanya.



