ARTIKEL

Sarawak hidupkan semula minyak darat selepas hampir lima dekad

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak kembali mengaktifkan pengeluaran minyak dan gas di daratan selepas hampir lima dekad menerusi pengeluaran pertama di Adong Kechil West, Miri, pada Julai tahun ini, dengan hasil kira-kira 800 tong minyak sehari daripada sebuah telaga.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan itu membuktikan potensi sumber hidrokarbon daratan negeri masih boleh dibangunkan menerusi kemajuan teknologi geofizik dan pengimejan bawah permukaan.

Beliau berkata, usaha penerokaan akan diperluaskan ke beberapa kawasan lain, termasuk Balingian, Limbang, Marudi dan Niah, dengan kajian graviti berteknologi tinggi membantu mengenal pasti struktur geologi yang berpotensi mengandungi sumber minyak dan gas.

“Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) turut meneroka pembangunan bersepadu medan gas luar pesisir di perairan barat Sarawak, berhampiran Kuching, bagi memastikan bekalan gas yang stabil untuk Kuching Low-Carbon Hub (KLCH).

“Inisiatif ini dijangka merangsang kemasukan pelaburan, menarik industri baharu serta membuka peluang pembangunan sektor hiliran, sekali gus memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Persidangan DUN Sarawak ke-19 hari ini.

Beliau berkata, pembangunan industri tenaga perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh keupayaan tenaga kerja tempatan, selain meningkatkan jaminan bekalan tenaga menerusi pembangunan sumber minyak dan gas daratan serta luar pesisir, di samping memperluas penjanaan hidroelektrik dan solar.

Menurutnya, sejarah industri petroleum Sarawak bermula pada 10 Oktober 1910 apabila minyak pertama ditemui di Canada Hill, Miri, oleh Anglo-Saxon Petroleum Company di bawah Shell, manakala pengeluaran minyak daratan berterusan sehingga 1972 sebelum dihidupkan semula menerusi perkembangan terbaharu itu.

Dalam pada itu, beliau turut mengetengahkan kejayaan anak Sarawak, termasuk Randu Rangen dari Kampung Stabut, Padawan, yang memiliki ijazah Sarjana Sains dalam bidang Alam Sekitar, Politik dan Masyarakat daripada University College London dan kini bertugas sebagai penasihat undang-undang di PETROS.

Selain itu, beliau menyebut Jacinta Lim dari Limbang yang mengasaskan tiga pusat fisioterapi Rehab Concept selepas melanjutkan pengajian di Curtin University, Australia, melalui biasiswa penuh pada 2016.

BERITA LAIN

234 daripada 595 projek agensi wilayah Sarawak siap

KUCHING: Sebanyak 234 daripada 595 projek pembangunan di bawah tiga agensi pembangunan wilayah Sarawak telah siap, merangkumi pelbagai inisiatif infrastruktur dan sosioekonomi bagi meningkatkan kemudahan

BERITA TERBARU

234 daripada 595 projek agensi wilayah Sarawak siap

KUCHING: Sebanyak 234 daripada 595 projek pembangunan di bawah tiga agensi pembangunan wilayah Sarawak telah siap, merangkumi pelbagai inisiatif infrastruktur dan sosioekonomi bagi meningkatkan kemudahan