KUCHING: Pengalaman dalam penyelenggaraan pesawat dan sokongan penerbangan menjadi antara faktor Hornbill Skyways memilih Cempaka Helicopter Corporation Sdn Bhd sebagai syarikat pemajak pesawat Falcon 8X.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Cempaka ialah syarikat bersekutu AIROD yang mempunyai pengalaman luas dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat, selain pengendalian lapangan terbang serta perkhidmatan hangar.
“AIROD juga mempunyai pengalaman mengendalikan dan menyokong pesawat kenamaan, termasuk yang digunakan Kerajaan Persekutuan Malaysia.
“Selain itu, AIROD menyediakan perkhidmatan sokongan penerbangan kepada syarikat penerbangan utama dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Penjelasan itu diberikan susulan persoalan mengenai pajakan jet peribadi yang dibangkitkan dalam persidangan DUN.
Menurut Uggah, pemilihan Cempaka turut dibuat berdasarkan proses perolehan, tadbir urus dan usaha wajar yang ditetapkan Hornbill Skyways.
Beliau berkata, pengalaman AIROD dalam menyokong operasi pesawat kenamaan dan menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai pengendali penerbangan menjadi antara latar belakang yang relevan dalam pemilihan itu.
Pelantikan itu, katanya, dibuat selaras dengan prosedur yang ditetapkan Hornbill Skyways.





