ARTIKEL

Douglas Uggah menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching, hari ini. Foto: UKAS

204 projek kerja kecemasan RM355.51 juta masih dilaksana

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 204 projek kerja kecemasan bernilai RM355.51 juta masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan di Sarawak sebagai sebahagian usaha memperkukuh infrastruktur awam yang terjejas akibat bencana.

Timbalan Premier yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak 635 projek bernilai keseluruhan RM729.58 juta diluluskan sejak 2023, dengan 431 projek berjumlah RM374.07 juta telah disiapkan.

Menurutnya, sebanyak 140 projek lagi bernilai RM35.91 juta diluluskan sejak 2020 menerusi Tabung Bantuan Kerja Kecemasan Kecil (MEWAF), dengan 91 projek bernilai RM22.66 juta siap, manakala baki 49 projek berjumlah RM13.25 juta masih dalam pelaksanaan.

“Pelaksanaan projek ini merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan serta tindakan terhadap kerosakan infrastruktur akibat bencana,” katanya.

Uggah, yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, berucap ketika penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.

Uggah berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut membiayai pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di SK Beradek, Kuching bernilai RM8.5 juta yang dijangka siap akhir tahun ini, manakala projek serupa bernilai RM9 juta di Long Busang, Kapit berada pada peringkat reka bentuk.

Selain itu, dua jambatan Bailey di Sungai Bunau, Long Tebangan dan Sungai Benuang, Long Jeeh, Miri dijangka siap pada 2027 untuk memperkukuh akses perhubungan ketika kecemasan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah (BEKR) menyediakan bantuan sehingga RM70,000 bagi setiap isi rumah terjejas, dengan kira-kira RM2.4 juta diluluskan antara Mei hingga Oktober tahun ini untuk 23 rumah individu bernilai RM1.28 juta serta sebuah rumah panjang 16 pintu bernilai RM1.12 juta.

Mengenai keadaan jerebu pula, Uggah berkata, sebanyak 13,473 titik panas direkodkan di Kalimantan berbanding 187 di Sarawak pada Ogos lalu, dengan asap rentas sempadan menjadi penyumbang utama kemerosotan kualiti udara sehingga bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Serian melebihi 500.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pengisytiharan darurat jerebu di Serian pada 4 September sebelum ditamatkan pada 7 September, selain pengaktifan Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri dan Bahagian bagi menyelaras tindakan serta pemantauan.

“Susulan cuaca panas dan kering yang menyebabkan paras air empangan serta takungan mencapai tahap kritikal, empat siri operasi pembenihan awan dilaksanakan pada Mei, Jun, September dan Oktober lalu.

“Operasi itu menunjukkan hasil positif apabila hujan direkodkan di Empangan Bakun, Murum dan Batang Ai serta beberapa kawasan takungan bekalan air,” jelasnya.

Beliau berkata, JPBNS turut menyelaras penghantaran bekalan air bersih bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) kepada kawasan terjejas akibat kemarau.

“Berikutan ramalan kemungkinan fenomena El Niño berlanjutan hingga awal 2027, jawatankuasa pengurusan bencana di setiap bahagian diarahkan memantau kawasan titik panas dan kekurangan bekalan air.

“Orang ramai juga dinasihatkan menggunakan air secara berhemat, mengelakkan pembakaran terbuka serta mengehadkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka bersesuaian ketika jerebu,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU