KUCHING: Dokumen Belanjawan Sarawak yang didakwa mempunyai ketidakaturan penomboran halaman didapati diubah selepas keluar dari jagaan kerajaan.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemeriksaan mendapati angka perjawatan, data dan maklumat belanjawan dalam dokumen berkenaan kekal tepat, manakala ketidakaturan yang dikenal pasti hanya melibatkan penomboran halaman.
“Fakta yang diperoleh adalah jelas. Kertas Perintah itu disediakan, dicetak dan diedarkan mengikut prosedur jaminan kualiti yang ketat.
“Sebanyak 100 salinan dicetak dan diedarkan. Pengesahan mendapati semua salinan disusun dengan betul, mempunyai penomboran halaman yang tepat dan mengandungi data perjawatan yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Menurut Uggah, hanya satu salinan yang didapati mempunyai ketidakaturan itu, iaitu naskhah milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dokumen berkenaan diubah selepas meninggalkan jagaan kerajaan.
“Walau bagaimanapun, angka perjawatan kekal utuh, data tidak berubah dan maklumat belanjawan kekal tepat. Ketidakaturan itu hanya melibatkan penomboran halaman,” katanya.
Isu itu dibangkitkan Chong pada 13 Oktober lalu berhubung kesilapan penomboran halaman dalam dokumen Senarai Perjawatan Berdasarkan Jawatan yang Diluluskan, Jilid Dua, Bahagian Satu.
Beliau meminta pengesahan sama ada kesilapan itu hanya terdapat pada naskhah miliknya atau turut melibatkan dokumen yang diedarkan kepada ADUN lain, mengikut Peraturan Mesyuarat 23(2).
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, semasa memberikan keputusan pada 14 Oktober, berkata Setiausaha DUN menyemak perkara itu selepas isu berkenaan dibangkitkan.
Asfia menjelaskan, kesilapan penomboran halaman pada naskhah berkenaan tidak menjejaskan ketepatan, kelengkapan atau integriti angka yang terkandung dalam dokumen tersebut.
Uggah berkata, isu itu bukan sekadar berkaitan penomboran halaman, sebaliknya turut menyentuh integriti dokumen belanjawan, kredibiliti kerajaan dan profesionalisme pegawai yang menyediakannya.
Beliau menegaskan, ketidakaturan tersebut tidak berpunca daripada proses penyediaan, percetakan atau pengedaran dokumen oleh kerajaan.
Kerajaan, katanya, mempertahankan integriti dokumen Belanjawan Sarawak serta prosedur dan profesionalisme pegawai yang bertanggungjawab menyediakannya.



