KUCHING: Penyusutan hasil petroleum akibat ketidaktentuan ekonomi global pada 2025 tidak menghalang Kerajaan Sarawak daripada menyalurkan hampir RM500 juta menerusi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan tetap mengutamakan kebajikan rakyat meskipun berdepan tekanan terhadap hasil negeri susulan kelemahan pasaran komoditi dan kejatuhan harga petroleum.
Menurutnya, keadaan ekonomi global yang semakin mencabar pada 2025 bukan sahaja menjejaskan pendapatan negeri, malah turut meningkatkan tekanan kewangan terhadap isi rumah dan sektor perniagaan.
“Persoalan sebenar bukanlah mengapa hasil negeri menurun, tetapi bagaimana sebuah kerajaan yang bertanggungjawab bertindak apabila berdepan penyusutan hasil, sedangkan rakyat pada masa yang sama terus menghadapi tekanan ekonomi yang semakin meningkat.
“Harga makanan meningkat, perbelanjaan isi rumah bertambah dan sektor perniagaan pula berdepan kos operasi yang lebih tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.
Douglas Uggah berkata, kerajaan mengambil pendekatan memperkukuh bantuan SKAS bagi mengurangkan kesan tekanan ekonomi terhadap golongan yang layak, sekali gus memastikan kebajikan rakyat terus terbela dalam keadaan hasil negeri yang terjejas.
Katanya, usaha itu diteruskan pada 2026 menerusi peluasan kelayakan penerima serta peningkatan peruntukan SKAS bagi membantu rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup.
“Selain bantuan berkenaan, kerajaan turut memberikan diskaun 25 peratus bagi bil elektrik untuk meringankan perbelanjaan isi rumah, selain diskaun sewaan premis perniagaan bagi membantu penjaja, peniaga dan pengusaha kecil mengurangkan kos operasi,” katanya.
Beliau menjelaskan, meskipun pelaksanaan pelbagai inisiatif tersebut memerlukan perbelanjaan kerajaan, langkah berkenaan ialah keputusan yang dirancang bagi melindungi kebajikan rakyat dan memperkukuh daya tahan ekonomi negeri.
Katanya, kerajaan tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat semata-mata kerana berdepan penyusutan hasil, sebaliknya perlu memastikan bantuan yang diperlukan terus disalurkan ketika tekanan ekonomi meningkat.
“Kejayaan sesebuah pentadbiran bukan hanya diukur berdasarkan jumlah hasil yang dikutip, tetapi juga melalui keupayaan melindungi kesejahteraan rakyat, memastikan sektor perniagaan terus berdaya tahan dan mengekalkan momentum pembangunan Sarawak,” katanya.



