ARTIKEL

Douglas Uggah menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching, hari ini. Foto: UKAS

Permohonan bantuan UNIFOR naik 45 peratus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Inisiatif turun padang, libat urus dan penambahbaikan sistem dalam talian ORSEM Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menyumbang kepada peningkatan 45 peratus permohonan baharu bantuan kerajaan daripada pertubuhan keagamaan di Sarawak.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peningkatan itu mencerminkan keberkesanan usaha UNIFOR memperluas akses kepada bantuan kerajaan, khususnya bagi rumah ibadat agama lain di seluruh negeri.

Menurutnya, pendekatan berkenaan turut menjadi sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh keharmonian antara agama serta memastikan masyarakat pelbagai kepercayaan mendapat perhatian sewajarnya.

“Perkembangan ini mencerminkan akses yang semakin baik serta peluasan capaian bantuan kepada rumah ibadat di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Uggah berkata, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM565 juta sejak 2017 hingga 2026 bagi pembinaan, pembaikan, naik taraf serta penyediaan kelengkapan rumah ibadat agama Kristian, Buddha, Tao, Bahai, Hindu dan Sikh.

“Bagi tahun ini, sebanyak RM90 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 400 projek, dengan RM34.88 juta disalurkan kepada 148 projek menerusi fasa pertama.

“Bagi fasa kedua, sebanyak RM49.88 juta melibatkan 224 projek masih menunggu penyaluran, manakala RM5.24 juta lagi untuk 28 projek di bawah fasa ketiga juga belum disalurkan,” jelasnya.

Dalam aspek pendidikan, beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut menyediakan peruntukan terkumpul RM120 juta bagi sekolah mubaligh sepanjang 2021 hingga 2026.

“Daripada jumlah itu, RM30 juta diperuntukkan pada tahun ini, merangkumi RM20 juta bagi penambahbaikan infrastruktur sekolah dan RM10 juta untuk inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Menurutnya, bantuan berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan meningkatkan kemudahan pendidikan serta memperluas peluang pembelajaran kepada pelajar sekolah mubaligh.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU