ARTIKEL

Sebahagian daripada 3,500 peserta memeriahkan program Farley Riang Ria 2.0 di Kuching, Ahad lalu.

3,500 peserta meriahkan Farley Riang Ria 2.0, MBKS galak kerjasama swasta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penyertaan kira-kira 3,500 orang dalam program Farley Riang Ria 2.0 membuktikan sambutan tinggi masyarakat terhadap aktiviti riadah mesra keluarga, sekali gus mendorong Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menggalakkan lebih banyak kerjasama dengan sektor swasta bagi memperluas program komuniti seumpamanya.

Wee Hong Seng ketika berucap pada program Farley Riang Ria 2.0 di Kuching, Ahad lalu.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata penganjuran program berkenaan bukan sahaja menggalakkan gaya hidup aktif, malah membantu memperkukuh hubungan kekeluargaan, kesejahteraan mental dan interaksi sosial dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.

Menurutnya, program yang berlangsung Ahad lalu itu menampilkan acara larian santai sejauh empat kilometer serta 10 permainan keluarga yang direka khusus untuk menggalakkan penyertaan semua peringkat umur.

“Program seperti ini bukan sekadar memberi tumpuan kepada kecergasan fizikal, tetapi turut menyokong kesejahteraan mental, mengeratkan hubungan kekeluargaan dan membuka peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi.

“Semua ini elemen penting dalam membentuk komuniti yang lebih sihat, harmoni dan saling berhubung,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pertandingan mewarna kanak-kanak anjuran tahunan kumpulan itu yang menarik lebih 1,500 penyertaan bagi setiap penganjuran antara contoh usaha menyediakan ruang perkembangan kreativiti dan keyakinan diri generasi muda.

“Inisiatif seperti pertandingan mewarna dan riadah ini memperlihatkan sumbangan mereka bukan hanya tertumpu kepada aktiviti perniagaan, tetapi turut menyokong pembangunan kanak-kanak, kesejahteraan keluarga dan hubungan masyarakat,” katanya.

Menurut Wee, usaha tersebut selaras dengan komitmen MBKS untuk membangunkan bandar raya yang lebih inklusif, selamat dan mesra kanak-kanak berdasarkan prinsip Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Bandar mesra kanak-kanak perlu menyediakan persekitaran yang selamat serta peluang kepada golongan itu untuk bermain, belajar, mengambil bahagian dalam aktiviti masyarakat dan berkembang secara menyeluruh,” katanya.

Sehubungan itu, Wee menggalakkan lebih banyak syarikat, organisasi dan kumpulan komuniti bekerjasama dengan MBKS dalam memperluas program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Melalui kerjasama ini, kita mampu membina bandar raya yang lebih bertenaga, prihatin dan selesa didiami untuk generasi sekarang serta akan datang,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Kemalangan di Pakan: Pemandu tersepit dalam kereta

PAKAN: Seorang lelaki terselamat dalam insiden yang melibatkan kereta Perodua Viva dipandunya dan sebuah lori simen di Jalan Pakan, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Babai,